PM M'sia mesti orang Melayu, kata tokoh sejarah
Satu sesi bicara balas tentang perdana menteri bukan Melayu menemui titik persilangan menarik apabila satu-satunya tokoh sejarah negara berbangsa Cina menolak idea berkenaan sementara dua lagi ahli panel Melayu berpendapat ia mungkin berlaku.
Memulakan perbincangan, Profesor Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berpendapat jawatan perdana menteri akan sentiasa diisi seorang Melayu berdasarkan hakikat semasa orang Melayu sebagai majoriti di negara ini.
"Kalau rakyat Malaysia sekarang diminta mengundi sama ada orang bukan Melayu boleh menjadi PM atau tidak, apakah keputusannya? Bilangan penduduk negara ini 60 peratus lebih adalah orang Melayu. Jadi kalau orang Melayu tidak setuju?" katanya.
Bercakap pada forum anjuran Radio Bernama 24 di ibu kota semalam, Khoo menegaskan bahawa jawatan itu juga akan sentiasa diisi orang Melayu berdasarkan perspektif sejarah yang mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu.
"British datang (ke Tanah Melayu), kaji dan buat keputusan ini adalah tempat kerajaan Melayu.
"Jadi pada 1927, apabila Hugh Clifford dilantik sebagai gabenor dalam Federal Council ada dijelaskan dia kata bahawa tempat ini pernah, sememangnya, dan perlu kekal sebagai negeri Melayu," katanya.
Menurut Khoo ( atas ), perkara itu dikukuhkan lagi pada persidangan Raja-Raja Melayu dalam tahun 1961 apabila Gabenor British pada masa itu, Sir Cecil Clementi menegaskan sekali lagi bahawa "Malaya untuk orang Melayu".
Pendapat Khoo yang mengambil kira hakikat semasa dan sudut sejarah disanggah Ketua Pemuda PKR (AMK) PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah.
Saifuddin: Menggamit sejuta kemungkinan
"Dalam kerangka Perlembagaan, siapa yang menikmati majoriti dalam Parlimen akan diangkat sebagai PM.
"Dalam konteks ini tidak dikhususkan sama ada dia Melayu atau Islam atau sebagainya. Kalau kita tidak ubah, itulah akan jadi pegangan dalam kita bernegara," kata Shamsul yang juga seorang peguam.
Namun, Shamsul berpandangan perbincangan sama ada jawatan itu boleh diisi oleh seorang bukan Melayu atau tidak hanya akan menguntungkan kerajaan sekarang yang dibentuk parti-parti berasaskan perkauman.
"Perkara ini bukan satu provokasi kecuali kerajaan BN hendak menggunakan perkara itu untuk menakutkan pengundi terutama majoriti pengundi Melayu.
"Apa-apa sahaja perbahasan dalam konteks ras, ia akan menguntungkan parti yang perkauman," katanya.
Menolak kenyataan Shamsul, Saifuddin menegaskan bahawa isu tersebut sebenarnya tidak pernah dibincangkan sama ada dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno atau Dewan Tertinggi BN.
Malah, beliau mendakwa Umno kini sibuk melakukan persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.
Saifuddin bagaimana pun bersetuju isu perdana menteri bukan Melayu perlu dikaji semula apabila senario semasa memerlukan ia dibincangkan dengan lebih serius.
"Ini akhirnya bergantung kepada pilihan raya akan datang yang kita belum tahu bila dan siapa akan mewakili siapa dan sama ada orang Melayu akan membentuk majoriti atau tidak. Itu semua persoalan menggamit sejuta kemungkinan," katanya.

