Baju kuning tetap sertai sambutan PM di TARC
Sebilangan pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman (TARC) tidak gentar dengan 'galakan' pengurusan kolej agar pelajarnya memakai baju merah menyambut perdana menteri sempena lawatannya petang ini.
Sebaliknya, kira-kira 20 pelajar tahun pertama lanjutan (advanced first year) tetap berbaju kuning dan hanya muncul 'menyambut' Datuk Seri Najib Razak di tepi jalan sekitar jam 4.15 petang.
Mereka malah bergaya santai, antaranya dengan berseluar pendek dan bergambar sesama sendiri.
Sebahagian besar pelajar lain pula membentuk 'lautan merah' manusia menyambut Najib di kiri dan kanan jalan menuju ke Dewan Utama Kolej TAR di ibu negara kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Pelajar-pelajar yang berbaju-T merah kelihatan begitu gembira seolah-olah berpesta dan bersorak-sorak menyambut hadirin yang tiba untuk majlis Agensi Inovasi Malaysia di situ.
Malah, wartawan Malaysiakini juga turut disapa dengan meriah apabila disalam dan dicium tangan oleh salah seorang pelajar yang berdiri di tepi jalan menunggu Najib.
'Ah Jib Gor we love you'
Ada antara mereka memegang kain rentang memuji Najib bertulis "Ah Jib Gor You are Our Inspiration" (Ah Jib Gor kamu inspirasi kami) dan "Ah Jib Gor We Love You" (Ah Jib Gor kami sayang kamu).
'Ah Jib Gor' atau 'Abang Najib' mula popular selepas Najib mewujudkan laman sosial dengan nama sama untuk mendekati 'rakan-rakan' Facebook berbangsa Tionghua beliau.
Kehadiran sebahagian kecil pelajar berbaju kuning bagaimana pun dilihat tidak mampu menyaingi sambutan meriah yang diberikan kepada Najib.
Sebelum ini terdapat khabar angin di Internet bahawa terdapat pengharaman pemakaian baju kuning oleh pelajar kolej milik MCA itu.
Pegawai Perhubungan Awam TARC Richard Liau semalam bagaimanapun menafikan mengenakan kod etika pakaian sebaliknya hanya menggalakkan pemakaian pakaian rasmi berwarna merah.
Kuning warna rasmi gerakan pro-reformasi sistem pilihan raya BERSIH dan digunakan pelbagai kumpulan yang kritikal terhadap kerajaan di negara ini.

