Kelab Taat Suami (KTS) mencuri perhatian ramai dan mengundang pelbagai reaksi apabila ia pertama kali dilancarkan pertengahan tahun 2011.
Sewaktu mula bergerak, KTS tampil dengan panduan seks ranjang yang berani dengan bertajuk "Seks Islam, perangi Yahudi untuk kembalikan seks Islam kepada dunia".
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertindak mengharamkan buku itu walaupun ia dikhaskan bacaannya untuk ahli KTS sahaja )
Hampir setahun selepas penubuhannya, KTS melalui Global Ikhwan Sdn Bhd kembali dengan penerbitan panduan seks baru dengan tajuk "Risalah roh suci dan seks suci Islam" - kali ini untuk bacaan orang ramai.
Global Ikhwan merupakan sebuah entiti korporat yang dibangunkan oleh bekas anggota pertubuhan Al-Arqam.
Bekas pengikut Al-Arqam – yang diisytiharkan haram sejak 1994 – terus dibayangi pelbagai halangan pihak berwajib sama ada dalam bidang perniagaan atau kegiatan kemasyarakatan.
Pada 2006, komuniti para pengikut Allahyarham Ashaari Muhammad dikesan menubuhkan Rufaqa Corporation Sdn Bhd, yang disifatkan pihak berkuasa sebagai platform untuk menghidupkan semula kumpulan al-Arqam.
Rufaqa Corporation kemudiannya diharamkan pada Disember 2006 dan kumpulan pengikut itu kemudiannya menubuhkan Global Ikhwan Sdn Bhd, namun kegiatan itu juga dikekang oleh pihak berkuasa apabila ia bertindak mendaftar ahlinya.
Sekatan itu gara-gara pihak berwajib dipercayai khuatir ia akan digunakan untuk menghidupkan semula gerakan dakwah itu yang telah difatwakan sesat.
Aktiviti KTS pula terus mendapat perhatian pihak berkuasa yang membuat serbuan ke atas satu forum mempromosikan kempen tersebut pada awal tahun ini.
Dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini , presiden KTS di Malaysia, Fauziah Ariffin menafikan kelab itu diwujudkan untuk merekrut ahli baru ke dalam serpihan Al-Arqam – yang kini dikenali dengan nama kumpulan Global Ikhwan Sdn Bhd.
"Tidak (guna KTS untuk rekrut bekas ahli Al-Arqam), ada orang luar ini dia hendakkan kaunseling, pandangan. Tak jadi ahli pun tak apa, bukan satu kemestian. Yang penting perwatakannya (cukup solat lima waktu)."
Menurut Fauziah, penubuhan KTS pada asalnya juga merupakan idea asal Allahyarham Ashaari yang menurutnya mahu melihat golongan wanita dalam pertubuhan itu menjadi isteri solehah walaupun sibuk dengan kerjaya mereka.
"Sebenarnya, awal-awalnya bukan bermula dengan KTS ini, Sebenarnya, syarikat Global Ikhwan ini, pengerusinya (Allahyarham) Abuya Ashaari Muhammad tu, dia nakkan wanita-wanita dalam syarikat ini menjadi perempuan-perempuan yang solehah," katanya.
Katanya, individu yang ingin menyertai KTS disyaratkan untuk menunaikan fardu solat lima waktu.
Menurut Fauziah (foto kiri) , kelab itu tidak pernah sama sekali meletakkan matlamat untuk mencapai bilangan keahlian tertentu.
Katanya, mereka hanya mempromosi amalan "seks suci Islam" di kalangan ahli-ahlinya yang sedia ada.
Menurutnya, selepas setahun beroperasi, Kelab Taat Suami kini mempunyai kira-kira tiga ribu keahlian dan kira-kira dua ribu daripadanya adalah keahlian di Malaysia.
"Yang penting bukan bangga tentang ahli, yang penting apabila orang mengamalkannya (seks suci Islam) kerana Tuhan," kata Fauziah sewaktu diwawancara di Segambut minggu lepas.
Wanita sebagai hiburan
Ketika diminta menjelaskan mengenai maksud kempen "seks suci Islam" itu, Fauziah menyatakan bahawa yang perempuan itu merupakan pelengkap kepada lelaki seperti Hawa yang menjadi penghibur kepada Adam di dalam syurga.
(Dalam agama Islam, Kristian dan Yahudi, Adam dan Hawa adalah manusia pertama yang dicipta Tuhan di dalam syurga)
"Perempuan ini, sebenarnya, dia adalah diciptakan salah satu objektifnya, yang terutama ialah supaya dia menjadi pelengkap kepada lelaki. Seperti Hawa kepada Adam.
"Adam itu memerlukan hiburan daripada Siti Hawa," katanya.
Menjelaskan perkara itu, Fauziah memberi contoh sesetengah pemimpin dunia yang diketahui mempunyai perempuan simpanan untuk menghiburkan mereka.
Menurutnya, tugas itu sepatutnya dilakukan seorang isteri yang taat kepada suaminya dengan membantu melepaskan "tekanan" kuat yang ditanggung lelaki.
"Sekarang ini apabila perempuan tidak memberi layanan baik kepada suami, memang rata-rata tahu bahawa orang-orang akan ada perempuan simpanan, orang buat jahat. Dan itu berlaku kepada pemimpin-pemimpin besar dunia.
"Biasanya orang (lain) yang dia memberi tekanan yang kuat (kepadanya), dia perlu perlepasan yang kuat juga.
"Dia perlu layanan terhadap nalurinya, kurang ketegangan itu," kata Fauziah yang memaksudkan perlakuan seks.
Selain daripada berfungsi sebagai penghibur kepada suami, Fauziah turut menjelaskan bahawa perempuan tanpa disedari sangat berkuasa ke atas lelaki kerana mereka mampu "menawan" lelaki.
"Perempuan ini, Allah cipta dia menjadi manusia yang lemah lembut. Sebenarnya, perempuan mempunyai satu sifat yang membolehkan dia menawan orang lelaki.
"Kita tengok pun, kenapa pemimpin-pemimpin besar kebanyakkannya dia tunduk kepada perempuan, kadang-kadang di belakang dia adalah perempuan. Tidak kiralah, kalau kita ambil orang bukan Islam pun, pemimpinnya, di belakangnya perempuan," kata Fauziah.
Menurutnya lagi, Siti Khadijah sendiri adalah orang pertama menenangkan Rasulullah sewaktu baginda gementar pertama kali menerima wahyu dari Tuhan.
Sekali lagi mengambil contoh penciptaan Hawa dan Adam, beliau menegaskan bahawa wanita yang bekerja wajib patuh dan mendahulukan tugas menghiburkan suami mereka.
"Walaupun dia bekerjaya, itu (perkara) yang kedua. Tapi utamanya apa? Itu yang kita hendak ajar balik kepada masyarakat, fahamlah tentang ciptaan Tuhan ini.
"Takkan Allah hendak merendahkan martabat perempuan dengan berkata kepada perempuan 'taatlah kepada suami kamu'. Sebab Allah tahu, hasilnya, mesti baik. Mesti luar biasa.
"Adakah suami kamu akan bertambah garang apabila kamu layan dia dengan baik? Bertambah baiklah.
"Malah ada suami yang sudah bertahun-tahun (bermasalah rumah tangga), yang kita selesaikan kes dia, berterima kasihlah kepada kelab ini.
"Katanya "baru sekarang saya rasa isteri saya itu memang menjadi perempuan yang begitu intim, begitu lunak, boleh melembutkan hatinya dan memahami keperluan dia," katanya.
Bahagian kedua esok: Pandangan Kelab Taat Suami tentang seks oral dalam rumah tangga.
Wawancara dijalankan oleh Jimadie Shah Othman, Ahmad Fadli KC dan Siti Sara Ghazie.