'DAP perlu pertimbang terima anugerah istana'
WAWANCARA ADUN Sekinchan Ng Suee Lim berkata DAP perlu menerima anugerah pangkat dan bintang kebesaran dari istana untuk menangkis tanggapan bahawa parti itu anti-Melayu.
Menurutnya, ia bagi menutup mulut NGO-NGO pro-Umno yang gemar menjaja cerita mendakwa DAP menolak demokrasi berparlimen dan sistem raja berperlembagaan.
Masanya sudah tiba bagi pemimpin DAP terutamanya di Selangor yang kini mungkin telah banyak berjasa kepada rakyat selepas menerajui kerajaan negeri untuk menerima anugerah dari istana, kata Ng.
"Saya yakin sudah sampai masa kita kena terima. Sebab mungkin dulu, alasan kita, kita belum ada jasa, belum berbakti.
"Jadi sudah sampai masa kemimpinan kita kena rujuk semula, hitung semula, kaji semula untuk terima satu persatu, bukan semua.
"Ini akan memperkukuhkan sokongan DAP di masyarakat Melayu dan membaiki imej DAP di khalayak orang Melayu," kata Ng dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini dalam bulan Ramadan yang lalu.
Ng sebelum ini menyuarakan cadangan itu pada mesyuarat agung tahunan DAP dalam bulan November 2010 – ketika pemilihan DAP Selangor sedang berlangsung.
Pada masa itu juga timbul desas desus bahawa Speaker Selangor, Datuk Teng Chang Khim yang pada masa itu masih belum memakai sebarang gelaran akan menerima pangkat Datuk dari istana Selangor.
Teng menerima kritikan hebat pada masa itu kerana DAP mempunyai polisi tidak bertulis yang tidak menggalakkan pemimpinnya menerima sebarang gelaran dan pingat kebesaran.
Beliau bagaimanapun tetap menerima anugerah itu daripada Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2010.
Pemilihan tersebut bagaimanapn menyaksikan Teng dilantik sebagai timbalan pengerusi DAP Selangor manakala Ng sebagai timbalan setiausaha DAP Selangor,
"Nasib baik waktu itu Tuanku yang bagi. Isu itu kurang sedikit," kata Ng yang mencadangkan agar hanya mereka yang berkhidmat selama lebih tiga tahun dalam kerajaan layak menerima anugerah itu.
Kem DAP Selangor
Ng turut ditanya jika beliau tetap akan bersama dalam kem Teng Chang Khim untuk pemilihan DAP Selangor yang akan datang.
Dalam pemilihan DAP Selangor lalu, Ng bertanding dalam pasukan Pelangi diketuai Teng menentang kem Perpaduan yang diketuai exco Selangor, Teresa Kok.
Mengulas perkara itu, Ng mengakui bahawa beliau kini dilihat sebagai pemimpin "bukan arus perdana" seperti Teng.
"Bagaimanapun, kami tidak ada haluan yang berbeza dengan parti. Perjuangan parti, prinsip parti, kita ada bersama.
"Tetapi cuma berbeza di sini, pendekatan. Formula yang kadang-kadang kami cadangkan itu ada sedikit berbeza dengan kawan-kawan yang lain lah. Mungkin begitulah.
"Saudara Teng ini agak kritis. Suara dia agak tajam, agak berani bersuara. Kemungkinan kerana itulah beliau dilabelkan sebagai tidak tergolong dalam arus perdana," jawab Ng penuh diplomasi.
Bagaimanapun, beliau berpuas hati dengan DAP Selangor yang diketuai Teresa Kok yang disifatkan sebagai pemimpin yang "mendengar pandangan orang lain", kata Ng.
"Saya nampak dia lebih sedia mendengar pandangan pelbagai pihak walaupun yang lebih kritis. Walau dari pihak kami sekali pun, beliau sedia mendengarnya," katanya.
Politik wang dalam DAP
Pada masa sama, Ng menggesa agar bibit-bibit politik wang, yang menurut pemerhatiannya sudah mula bercambah dalam DAP, dibasmi dengan segera.
Budaya berkenaan, katanya, dibawa bekas ahli MCA yang kini menyertai DAP selepas pilihan raya 2008 dan sudah terbiasa mengamalkannya dalam pemilihan parti mereka dahulu.
"Saya minta pucuk pimpinan kita berwaspadalah dengan gejala menggunakan wang ini.
"Saya khuatir ada pemimpin yang mula menggunakan wang untuk menarik sokongan ahli-ahli akar umbi. Ini kebimbangan saya," kata Ng.
Ng kini merupakan ADUN Sekinchan untuk penggal kedua selepas memikul tanggungjawab itu buat kali pertama selepas menang pada pilihan raya tahun 2004.
Beliau dan Teng merupakan dua wakil pembangkang dalam DUN Selangor sepanjang penggal 2004-2008.
Selepas pilihan raya 2008, Teng mempertahankan kerusi Sungai Pinang dan dilantik sebagai Speaker DUN Selangor.
Pada masa sama, Ng masih kekal sebagai ADUN Sekinchan dan tidak dilantik sebagai exco negeri walaupun lebih kanan dari segi pengalaman sebagai ADUN dari DAP.
Mengulas perkara ini, Ng akur dengan penilaian parti yang menurutnya telah memilih orang yang dapat menggalas tanggungjawab tersebut dengan baik.
"Ada kecewa? Saya rasa tak adalah. Dalam politik, yang penting kita boleh menang, kita boleh pertahankan kawasan, dapat beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Impian kita dapat direalisasikan, iaitu selama ini masalah rakyat kita dapat selesaikan. Bagi saya, itu suatu kepuasan," kata Ng.
Pada masa sama, beliau cukup yakin mampu menggalas amanah sebagai exco sekiranya dipertanggungjawabkan berbuat demikian selepas pilihan raya umum nanti.
"Saya nyatakan kalau takdir mengizinkan, satu hari nanti (jika) ada peluang, saya akan mengalas. Saya yakin dapat melakukan kerja (exco) dengan baik," tegasnya.
Beliau turut yakin Selangor akan kekal ditadbir Pakatan Rakyat jika pilihan raya kelak berlangsung secara adil bersih.
Ia disandarkan kepada kualiti kepimpinan Pakatan Rakyat yang jauh lebih baik berbanding BN.
"Kalau segi Noh Omar, saya rasa dengan perwatakan yang samseng, rakus, gengster, rakyat tentu tidak mahu pemimpin sedemikian.
"Berbanding Pakatan Rakyat, Tan Sri Khalid Ibrahim itu amanah, kerja kuat, pagi hingga petang tidak ada masa untuk berehat, seorang yang sudah kaya, tetapi masih memilih untuk bersusah payah (sebagai MB)" katanya.

