mk-logo
Berita
Suaram: Kami tak campur urusan George Soros

Penasihat Suaram, Kua Kia Soong hari ini menjelaskan bahawa mereka tidak mencampuri urusan spekulator matawang George Soros yang didakwa menyalur dana kepada NGO tersebut.

Katanya, Soros berhak untuk memanfaatkan wangnya mengikut cara yang dirasakan wajar oleh jutawan berkenaan.

NONE "Apa yang tidak kenanya dengan George Soros? Kami tidak masuk campur dalam urusan perniagaannya.

"Apa yang Soros buat menggunakan duitnya sendiri dan bukan duit rakyat," kata Kua dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.

Penasihat Suaram Kua Kia Soong berkata tindakan kerajaan BN yang mahu Bank Negara menyiasat dakwaan penyaluran dana spekulator matawang George Soros kepada NGO tersebut akan meletakkan bank pusat tersebut dalam kedudukan memalukan.

Beliau juga mempertikaikan propaganda BN yang menyebut bahawa jutawan itu merupakan seorang "penyangak matawang", memandangkan bekas perdana menteri sendiri Tun Dr Mahathir sendiri, menurutnya, terpaksa mengakui bahawa Soros bukan seperti yang digembar-gemburkan.

"Bank Negara kita sendiri di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad melakukan spekulasi di pasaran matawang antarabangsa sejak 1992 hingga 1994 menggunakan wang rakyat dan mengalami kerugian dilaporkan antara RM10 bilion hingga RM30 bilion," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, laporan majalah Malaysian Business pada April 1994 menyebut bahawa jumlah wang rakyat yang terdedah di pasaran matawang antarabangsa berjumlah sehingga RM270 bilion.

"Ia merupakan malapetaka paling besar kepada Bank Negara yang terpaksa diselamatkan oleh Kementerian Kewangan pada 1994 namun individu yang bertanggungjawab masih belum dihukum.

"Selepas kegagalan itulah, yang merupakan salah satu pencapaian Mahathir yang paling memalukan, beliau menggelar Soros sebagai seorang tolol. Apabila krisis kewangan Asia 1997 melanda, Soros sekali lagi dipersalahkan.

"Bagaimanapun, Mahathir terpaksa mengakui kesilapannya pada satu sidang media bersama Soros pada 15 Disember 2006 apabila beliau menerima bahawa Soros tidak bertanggungjawab ke atas krisis kewangan Asia 1997," katanya.

Beliau mengulas kenyataan menteri perdagangan dalam negeri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang meminta Bank Negara menyiasat dakwaan bahawa Soros menyalurkan dana kepada NGO berkenaan.

NONE Ismail berkata, siasatan kementerian itu menunjukkan Suaram menerima lebih RM558,500 daripada Soros dalam tempoh 2007 hingga 2010.

Turut hadir dalam sidang media pagi tadi adalah wakil dari 135 NGO lain yang menyatakan sokongan kepada Suaram atas dakwaan yang dihadapi itu.

Antaranya, pengarah eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Masjaliza Hamzah yang berkata pembiayaan dana asing untuk isu tertentu merupakan amalan biasa yang turut dipraktikkan kerajaan Malaysia.

Malah, kerajaan Malaysia sendiri pernah membiayai perjuangan menentang amalan apartheid di Afrika Selatan dan pembebasan masyarakat Palestin di Israel, katanya.

"(Gangguan ini) akan mengganggu keupayaan Suaram untuk mendapatkan dana dari luar negara," katanya.

Manakala pengarah eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez pula menganggap siasatan berkenaan merupakan satu gangguan berterusan oleh kerajaan bagi mengelak isu dibangkitkan Suaram - pembelian kapal selam Scorpene.

"Momokan ini tidak masuk dek akal lagi kerana masyarakat sekarang sudah matang.

"Kerajaan perlu menghentikan gangguan ini dan menjawab isu yang dikemukakan," katanya.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS