10 kes hina gambar, serang pemimpin Pakatan disiasat
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin mengumumkan polis telah menyiasat 10 kes tindakan menghina gambar dan serangan terhadap pemimpin Pakatan Rakyat sejak tahun 2009 lagi.
Justeru, katanya, tuduhan polis memilih bulu berdasarkan warna politik tidak berasas sama sekali.
"PDRM sentiasa profesional dan sentiasa menyiasat kes dilaporkan tanpa prejudis tanpa mengira latar belakang mana-mana pihak," katanya.
Malah, polis juga hari ini mengedarkan lampiran tiga halaman berhubung perkembangan kes yang dibangkitkan orang ramai itu.
"Contohnya kes membakar gambar ketua menteri Pulau pinang pada 30 November 2009 disiasat pada hari sama ia dilaporkan," katanya sambil berkata siasatan kes itu dimulakan sejurus selepas laporan diterima.
Antara 10 kes itu, tiga daripadanya membabitkan aksi membakar patung dan gambar ketua menteri Pulau Pinang, satu kejadian penyokong PKR diserang di Sembrong dan kejadian baling selipar di Masjid Al-Hussin Kedah.
Lima kes lain - dua melibatkan gambar pemimpin Pakatan dipijak dan dikencing, dua serangan ke atas bas PKR dan satu kes ugutan dan provokasi pada ceramah PKR di Pantai Dalam bulan Mei lalu.
Polis sedia dinilai media
Tambahnya, polis sentiasa sedia dinilai pihak media dalam menentukan ketelusan siasatan mereka.
"Saya akan serahkan kes-kes berkenaan untuk media menilai tentang pelaksanaan tugas dan tanggungjawab kita," katanya.
Beliau bagaimana pun tidak menyatakan sama ada sepuluh kes itu telah selesai disiasat sepenuhnya.
Beliau sebaliknya memperincikan seksyen-seksyen yang digunapakai untuk menyiasat kes-kes berkenaan.
Undang-undang antipemerdagangan manusia sudah cukup
Sementara itu, polis yakin peruntukan undang-undang sedia ada mampu mengekang jenayah pemerdagangan manusia walaupun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang pernah digunakan terhadap suspek jenayah itu sudah dimansuhkan.
Di samping itu, orang ramai turut digesa menyampaikan maklumat secara berterusan untuk membantu tugas-tugas polis membanteras jenayah itu, kata Bakri.
"Kita sudah ada undang-undang anti pemerdagangan orang.
"Undang-undang sedia ada sudah kukuh dan kuat, orang ramai perlu beri kita pertolongan untuk bantu kita laksanakan tugas dan tanggungjawab kita," kata Bakri.

