'Pembebasan ISA30 bergantung pada keselamatan negara'
Status pembebasan baki 30 orang yang masih ditahan bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) bergantung kepada situasi semasa dan faktor keselamatan negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Husein.
"Jadi bagi saya ia bergantung kepada situasi semasa dan berkisar kepada ancaman mereka terhadap kepentingan keselamatan nasional," katanya sewaktu ditemui pada majlis rumah terbuka hari raya Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya petang tadi.
Tambahnya, kementerian sentiasa mengambil kira maklum balas dari risikan pasukan keselamatan sebelum membuat keputusan.
"Itu kita bergantung kepada kepakaran dari penjara, pihak polis dan unit khas keganasan.
"Baru-baru ini sebelum raya kita sudah bebaskan beberapa orang kerana kita rasakan mereka bukan lagi ancaman kepada negara kita," katanya.
Semalam, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menuntut kerajaan membebaskan baki tahanan ISA yang masih ditahan di Kamunting walaupun akta berkenaan hampir setahun dimansuhkan.
Sedang berurusan dengan negara lain
Mereka turut mengecam berita muka depan tiga hari berturut-turut sebuah harian berbahasa Inggeris yang dilihat cuba memainkan isu pemerdagangan manusia untuk membenarkan akta itu dihidupkan kembali.
Menurut Hishammuddin, kerajaan tetap mengutamakan keselamatan rakyat negara ini mempertimbang pembebasan mana-mana tahanan ISA.
"Dalam semua pertimbangan, kepentingan dan keselamatan negara jadi keutamaan.
"Tak mungkin kerajaan hari ini boleh buat sesuatu yang boleh menjejaskan kepentingan nasional," katanya.
Menurut Hishammuddin, kerajaan Malaysia turut berbincang secara berterusan dengan kerajaan negara lain yang mempunyai rakyat yang ditahan di bawah akta itu.
"Tahanan ISA warganegara asing juga kita sedang bincangkan dengan negara asal supaya tanggungjawab untuk memelihara kestabilan serantau itu dikongsi bersama," katanya.

