NGO mahu Badan Peguam berhenti pertikai polis
Sekumpulan 30 orang anggota NGO berhimpun di hadapan bangunan Badan Peguam di Kuala Lumpur bagi menuntut supaya badan itu berhenti mempertikai kewibawaan pasukan keselamatan.
Kumpulan berkenaan juga menuntut supaya Badan Peguam turut sama mengutuk serangan ke atas pasukan polis, seperti dalam satu insiden di Jalan Kuchai Lama pada 26 September lalu.
Seorang daripada pemimpin demonstrasi berkenaan, Muhammad Zahid Mat Arip menggesa demikian kerana Badan Peguam sebelum ini giat bertindak dalam isu salah laku polis.
"Kita minta mereka buat kenyataan mengutuk tindakan menembak dua anggota polis. Selepas peristiwa bersejarah petang ini, Badan Peguam akan dinilai rakyat.
"Kalau tiada kenyataan, mereka akan dilihat sebagai perkakas kepada pembangkang dan pihak lain semata-mata," katan bekas pemimpin Angkatan Muda Keadilan itu.
Seorang lagi pemimpinnya, Hamidzun Khairuddin turut membacakan satu memorandum sepanjang dua halaman, yang diserahkan kepada seorang wakil Badan Peguam petang ini.
Pemimpin NGO Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) itu antara lainnya berkata, Badan Peguam sering mencari salah dan mempertikaikan tindakan polis.
Sedangkan, polis sentiasa bertungkus-lumus menjaga keamanan negara dan keselamatan rakyat, katanya.
"Badan Peguam harus bersikap neutral dalam setiap isu, tanpa mengorbankan hakikat bahawa soal ketenteraman, keamanan, kesejahteraan, dan keadilan rakyat serta kemakmuran ekonomi rakyat menjadi matlamat," katanya.
Selain Gaps, rata-rata peserta berkenaan mewakili Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Jaringan Melayu Malaysia dan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim.

