Utusan: Ucapan Guan Eng 'seakan semai kebencian'
Satu laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini mendakwa, ucapan ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam satu pertemuan bersama sekumpulan pemimpin gereja di negeri itu "seakan menyemai kebencian" di kalangan golongan tersebut.
Pengarang yang menggunakan nama pena Awang Selamat dalam pojok akhbar Utusan edisi Ahad itu memberi alasan, ucapan yang disampaikan setiausaha agung DAP itu "menekankan soal ketidakadilan".
"Guan Eng tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak yang beranggapan kenyataanya itu boleh dilihat sebagai menghasut," kata pengarang itu lagi.
Dalam pertemuan itu, Lim didakwa menggesa golongan pemimpin gereja "menyuarakan keadilan untuk semua" yang dikaitkan Utusan sebagai "slogan" Pakatan Rakyat.
"Tidak sukar untuk menafsir kata-kata Guan Eng itu yang sememangnya membawa agenda DAP. Ternyata beliau mahu gereja memainkan peranan politik," tulisan itu dipetik.
Tulisan itu juga sekali lagi menimbulkan dakwaan mengenai "pertemuan paderi Kristian yang dikatakan berakhir dengan ikrar tertentu", yang didakwa anjuran DAP pada Mei tahun lalu.
Dakwaan itu adalah berhubung laporan tajuk utama Utusan pada 7 Mei lalu berjudul 'Kristian Agama Rasmi?' - berhubung dakwaan penubuhan negara Kristian dan melantik seorang perdana menteri di kalangan penganut agama berkenaan.
"Kegemparan" itu bagaimanapun senyap selepas kerajaan setelah mengeluarkan satu surat teguran kepada Utusan, walau pelbagai pihak termasuk MCA mahu akhbar tersebut terus disiasat .
Pemimpin DAP juga tidak berpuas hati dengan tindakan berkenaan dan mahu kerajaan menggantung permit penerbitan Utusan Malaysia kerana menerbitkan berita palsu berhubung dakwaan itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga mempertahankan bahawa "ada asas" kebenaran dalam laporan tersebut.
Seterusnya dalam satu jawapan di Parlimen pada 3 Oktober lalu menyebut, beliau berkata siasatan yang dijalankan menunjukkan "tiada bukti kukuh yang boleh menyokong keterangan untuk menyabitkan kesalahan kepada mana-mana individu" dalam kes tersebut.
Menteri dalam negeri juga menyatakan bahawa jabatan peguam negara telah memutuskan "tiada tindakan lanjut" dijalankan untuk kes berkenaan.

