Menteri: Tahan bukan kerana gelaran 'BERSIH'
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata kerajaan hanya menahan pemimpin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) kerana didakwa melanggar undang-undang dan bukannya kerana pemimpin itu menggelarkan diri mereka “BERSIH”.
Pemimpin BERSIH perlu mematuhi undang-undang sekiranya benar-benar mahu menjadi “BERSIH”, katanya lagi ketika menjawab satu soalan daripada P Ramasamy (DAP-Batu Kawan) di Dewan Rakyat hari ini.
MP Padang Rengas itu berkata, pemimpin BERSIH, seperti juga pemimpin lain, berhak untuk menggelar diri mereka dengan apa saja nama.
Malah, beliau sendiri berhak menggelar diri sebagai “gengster KL”, kata Nazri lagi dengan memberi contoh.
Bagaimanapun, kebebasan untuk menggelar diri dengan sesuatu nama tidak bermakna individu berkenaan boleh berbuat apa saja yang dimahu.
Mereka masih perlu mematuhi undang-undang, katanya.

