Naib Presiden PKR Tian Chua hari ini menafikan desas desus bahawa mesyuarat biro politik PKR malam ini akan membincangkan kedudukan setiausaha politik menteri besar Selangor, Faekah Husin.

"Ini satu pembohongan, tidak ada perbincangan tentang Faekah akan dibuat malam ini.

"Mesyuarat malam ini adalah mesyuarat mingguan yang biasa dibuat biro politik," kata Tian Chua ketika dihubungi Malaysiakini .

Desas desus itu bertiup kencang apabila akhbar Sinar Harian Online hari ini melaporkan PKR dijangka akan membawa perkara itu dalam mesyuarat malam ini.

Dengan memetik sumber yang tidak dinamakan, laporan itu menyebut jangkaan itu berdasarkan surat yang dihantar kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail semalam.

Surat tersebut dilaporkan mengandungi saranan kepada Saifuddin agar Faekah dikenakan tindakan disiplin.

Sumber yang dipetik itu percaya Saifuddin akan membawa perkara itu ke mesyuarat biro politik pada malam ini untuk memutuskan sama lembaga disiplin patut menjalankan siasatan ke atas kes tersebut, lapor laman itu.

Dalam satu lagi laporan, laman itu memetik kenyataan Saifuddin bahawa biro berkenaan sememangnya "akan membincangkan" isu berhubung kedudukan Faekah.

"Nanti akan bincang. Tapi sama ada dibincang malam ini atau tak, saya tak berani nak komen.

"Kita tunggu saja keputusan malam ini," katanya seperti dipetik laman itu.

Laporan dalam edisi cetak akhbar itu pula hari ini memetik kenyataan ketua penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei yang berkata, isu tersebut diserahkan untuk pertimbangan jawatankuasa disiplin parti.

Shuhaimi Shafiei sebelum ini dilaporkan menggesa Jawatankuasa Disiplin PKR memecat Faekah selepas mengkritik Timbalan Presiden, Azmin Ali secara terbuka walaupun tiada jawatan parti.

Faekah adalah mantan pembantu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum dilantik sebagai setiausaha politik menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Beliau menjadi sasaran kritikan oleh kalangan pemimpin PKR itu apabila membidas kenyataan Azmin yang menyebut Khalid tidak akan mentadbir Selangor selepas pilihan raya umum akan datang kerana akan dipindahkan ke Putrajaya sebagai menteri jika Pakatan menguasai Putrajaya.

Azmin berkata kenyataanya yang dirujuk dalam laporan Sinar Harian itu menyimpang dari topik perbincangan.