Polis Diraja Malaysia menyerahkan kepada pihak imigresen untuk menjelaskan 'rekod polis' pemimpin BERSIH yang ditahan seketika ketika hendak menaiki penerbangan antarabangsa sejak bulan lepas.

Ditemui di Bukit Aman pagi tadi, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar meminta media mengesahkan perkara tersebut dengan imigresen sendiri.

NONE "Bolehkah awak sahkan dengan imigresen yang mereka nyatakan demikian?

"(Berita yang ditulis itu) melalui saluran betul atau khabar angin sahaja?" tanya Ismail kembali tanpa memberikan sebarang perincian.

Setakat ini, BERSIH mendakwa lima orang anggota jawatankuasanya, termasuk Pengerusi Bersama Datuk S Ambiga ditahan sementara di lapangan terbang sebelum dibenarkan ke luar negara.

Mereka mendakwa diberitahu 'mempunyai rekod polis' oleh imigresen sebagai alasan penahanan.

Selain Ambiga, pemimpin BERSIH yang ditahan termasuk Maria Chin, Wong Chin Huat, Andrew Khoo dan Yeo Yang Poh.

Khoo yang disekat sementara pada 3 Oktober lalu mendakwa berkata dimaklumkan pegawai imigresen "ada fail polis dalam rekod" beliau.

Ismail sebelum itu melancarkan kempen membasmi jenayah di ibu pejabat polis di Kuala Lumpur itu.

Sementara itu, Pengerusi Suaram K Arumugam juga didakwa ditahan sementara ketika di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) ketika mahu berlepas ke Chennai, India, hari ini.

Pegawai BERSIH Mandeep Singh Karpall Singh berkata, beliau menerima SMS daripada Arumugam yang memberitahu beliau ditahan kira-kira sepuluh minit sebelum pasport beliau diteliti.

VIDEO l 2.17 min