Hadang jalan ke empangan demi kehidupan
Jika pagi Isnin di Kuala Lumpur warganya sibuk merempuh kesesakan ke tempat kerja, keadaannya berbeza sama sekali buat etnik Penan rumah panjang Long Jaik di Belaga, Sarawak.
Dua pasangan suami isteri Penan kelihatan berjalan santai meninggalkan rumah panjang itu untuk mengerjakan kebun mereka yang terletak berhampiran.
Langit kembali cerah selepas sehari sebelumnya hujan turun tanpa henti di sekitar rumah mereka.
Wartawan
Malaysiakini
bersama sebahagian golongan lelaki, remaja dan kanak-kanak Penan bersiap-sedia untuk ke tapak hadangan projek empangan hidroelektrik Murum.
Hadangan itu terletak berhampiran jambatan Sungai Seping, mula didirikan pada 25 September lalu dan masih berterusan sehingga kini.
Sampai di tapak hadangan, dua biji lori dengan muatan berat berhenti di hadapan hadangan dibuat daripada tali, batang kayu, tiga biji tong minyak, dan papan lapis.
Dengan saiz sebegitu besar, lori berkenaan pasti mampu merempuh hadangan ringkas di atas jalan selebar kira-kira 20 meter itu tanpa mengalami sedikit pun calar pada kepala mahu pun badannya.
Namun, pemandunya turun dari lori dan berbual dengan seorang lelaki yang ditemani seorang wanita dan anaknya.
Bergilir-gilir menghadang jalan
Lelaki berkenaan sampai lebih awal ke tapak hadangan itu berbanding yang lain.
"Apa-apa lori yang ada kaitan dengan empangan Murum memang kami tidak akan benarkan lalu," kata lelaki itu yang jauh lebih rendah daripada pemandu lori yang hanya mendengar dan mengangguk-angguk.
Senang Kalang, 27, antara etnik Penan dari rumah panjang Long Luar, satu daripada lapan rumah panjang lain yang mendakwa terjejas dengan pembinaan empangan Murum.
Lapan rumah panjang itu adalah rumah panjang Long Luar, Long Jaik, Long Wat, Long Tangau, Long Menapa, Long Singu, Long Malim, Long Peran dan rumah panjang Long Umpa dari kampung etnik Kenyah-Badeng.
Menurut Senang, terdapat kira-kira 380 orang Penan berhimpun sewaktu hadangan itu mula didirikan. Bagaimanapun, atas tuntutan hidup, mereka kini bergilir-gilir menunggu di situ dengan jumlah kira-kira 30 orang pada satu-satu masa.
"Hidup kami terganggu, (kami bergilir kerana) kami juga perlu masuk ke hutan mencari makan untuk keluarga di kampung," kata Senang.
Hadangan itu didirikan untuk menutup satu-satunya laluan masuk ke tapak projek empangan - yang terletak kira-kira 40 kilometer dari situ.
Kini, mereka mengambil giliran berkawal di situ dan hanya membenarkan lori balak masuk ke kawasan berkenaan.
Cetusan idea itu juga datang dari etnik Penan sendiri selepas menyedari kehidupan mereka semakin terjejas dengan pembinaan empangan itu dan projek-projek lain yang semakin rancak berlaku di kawasan itu.
"Kami Penan sendiri rencanakan blockade (hadangan) ini kerana semua tuntutan kami tidak pernah dibayar dan tidak ditepati janji mereka," kata Senang.
Integrasi dengan alam
Memetik Borneo Post , empangan Murum adalah empangan mega kedua di Sarawak dengan kapasiti 944 MW selepas empangan Bakun.
Proses pembinaannya bermula 1 Oktober 2008 dan dijangka tamat akhir tahun depan.
Etnik Penan di sekitar Murum diminta berpindah ke kawasan penempatan semula di Mentalun dan Tegulang.
Menceritakan keresahannya, Tuai Rumah Long Jaik, Matu Tugang berkata mereka sudah biasa dengan kehidupan yang berintegrasi dengan alam.
Justeru, penempatan semula yang dicadangkan kerajaan tidak kena dengan kehidupan mereka kerana tiada hutan untuk mereka memburu haiwan sebagai sumber makanan, katanya.
"Kami sudah biasa cari babi, cari ikan, memburu, tanam ubi tanam padi, dan tanam tebu.
"Pindah pergi Mentalun, itu kecil tak cukup untuk kami bercucuk tanam," katanya.
Katanya lagi, tiga jenis 'pembangunan' yang dibawakan kerajaan juga sebenarnya tidak membawa manfaat apatah lagi jauh sekali untuk melibatkan mereka.
Siapa langgar akan diberi 'pelajaran'
Ladang kelapa sawit yang dibuka berdekatan tempat tinggal mereka dakwa Matu, merosakkan air sungai dengan racun rampai sehingga menjejaskan jumlah ikan di dalamnya.
"Balak datang, tidak ada bagi apa-apa sama rumah panjang.
"Kedua, ladang sawit, rosak kami punya kawasan, tidak bagi apa-apa sama orang kampung.
"Jadi empangan Murum ketiga, tidak bagi apa-apa juga," katanya.
Justeru, hadangan yang didirikan bertujuan menuntut pampasan dari kerajaan, antaranya bayaran RM500,000 setiap keluarga untuk kehilangan tanah adat; tanah 30,000 hektar untuk setiap kampung, tanah 25 hektar untuk setiap keluarga untuk berkebun, pendidikan untuk kanak-kanak, tabung pembangunan masyarakat dan hak ke atas tanah mereka yang tidak akan ditenggelamkan untuk empangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Belaga, Liwan Lagang berjaya memujuk etnik Penan untuk menghentikan hadangan pada 5, 6 dan 7 Oktober lalu bagi membincangkan tuntutan mereka.
Namun, perbincangan itu dilaporkan tidak menemui kata putus apabila timbalan menteri kebudayaan dan warisan Sarawak itu dilaporkan enggan memperakui tuntutan mereka secara bertulis.
Mengakhiri perbualan, Senang Kalang menjelaskan setakat ini hanya satu lori sahaja berani merempuh hadangan yang didirikan dengan seutas tali diikat pada batang kayu dan disangga dengan tong minyak itu.
"Itu kali pertama dia buat begitu dan kami bagi nasihat. Kali yang lain kami tak akan bagi peluang lagi.
"Kalau ada yang terus masuk kami akan beri 'pelajaran'," katanya.

