Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kementerian Kewangan diasak projek diberi pada George Kent

Timbalan Menteri Kewangan, Awang Adek Husin diasak ahli Parlimen Pakatan Rakyat kerana bertegas bahawa projek penyambungan LRT Ampang diberikan kepada George Kent (Malaysia) Bhd dari awal-awal lagi, walaupun dokumen kewangan yang bocor menunjukkan sebaliknya.

Awang Adek berkata, setakat yang beliau tahu, apabila keputusan dibuat dan apabila ia ditandatangani, tidak ada lagi perubahan.

Ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa bagi peruntukan bajet Kementerian Kewangan 2013, timbalan menteri itu juga berkata beliau tidak tahu tentang dokumen yang disebut oleh mereka itu.

Awang Adek menjawab soalan Saifuddin Nasution (PKR-Machang, kiri) mengapa minit mesyuarat jawatankuasa perolehan Kementerian Kewangan (JPMK) pada 25 Januari, yang memaparkan tandatangan perdana menteri, menunjukkan bahawa Balfour Beatty telah dianugerahkan projek tersebut, tetapi kemudiannya ia mengumumkan George Kent memenangi projek tersebut.

Pakatan Rakyat mendakwa bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang juga menteri kewangan telah campurtangan dalam proses tender untuk memihak kepada George Kent, yang mana pengerusinya Tan Kay Hock telah digambarkan sebagai rakan golf Najib. Najib telah menafikan perkara itu.  

Awang Adek berkata kesahihan dokumen-dokumen yang bocor boleh dipersoalkan, sambil menambah bahawa terdapat keadaan lain di mana tandatangan perdana menteri telah dipalsukan.

Berikutan penafian ini, Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) mencelah dan mencabar timbalan menteri untuk mengisytiharkan bahawa dokumen perolehan yang bocor adalah palsu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS