Tiga lingkaran di balik masalah pengangkutan
Masalah pengangkutan awam di negara ini berkisar dalam "lingkaran Proton, politik dan keuntungan", kata Kumpulan Kerja mengenai Pengangkutan Awam Di Malaysia (KKPAM).
"Proton menjadi masalah tunggal terbesar yang dihadapi pengangkutan awam di Malaysia," kata Pengarah Eksekutif Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan (Cetdem) Gurmit Singh, yang mewakili pertubuhan itu dalam jawatankuasa kerjanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini bagi mempromosi forum awam berhubung pengangkutan awam KKPAM yang dijadual berlangsung pada 3 November ini di Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya.
Gurmit ( kanan ) mengeluh ekoran fokus terhadap kenderaan peribadi dan promosi pengilang kenderaan nasional hampir 30 tahun menyebabkan kerajaan mengabaikan keperluan kepada infrastruktur pengangkutan awam secara langsung dan tidak langsung.
Aktivis alam sekitar itu berkata, amaran awalnya berhubung perkara itu disekat oleh media arus perdana yang didakwa memesongkan kata-katanya dan "mencetak pembohongan mutlak".
Sementara itu, pesara tentera NB Deyananda menyalahkan politik sebagai punca pengangkutan awam tidak memuaskan, selain isu lain seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan.
"Orang terbabit sudah berkuasa lebih empat dekat dan di belakang semua masalah ini... Jawapan saya, untuk menyelesaikan masalah ini, kamu tukarlah orang yang bertanggungjawab," kata bekas pegawai tentera darat itu.

