Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengerusi Tetap Umno Datuk Badruddin Amiruldin yang kebiasaannya

memudah cara perbahasan tanpa terlalu menonjol - mencuri perhatian perwakilan dalam Dewan Merdeka petang tadi apabila menyampuk perbahasan ekonomi dengan penuh beremosi.

Ia berlaku sewaktu wakil Umno Sungai Besar, Datuk Norani Ramli dalam perbahasan menyokong usul ekonomi ucapan presiden mendakwa kerajaan Selangor berura-ura menutup pasar tani kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Badruddin yang merupakan pengerusi FAMA sejak 2011 kelihatan gagal mengawal emosinya dan menyampuk ucapan Ramli yang mengecam kerajaan Selangor.

"Kita akan bawa bas dan kepung SUK Selangor sama-sama!" tegas

Badruddin sambil mengangkat dan menggoyang-goyangkan tukul

pengerusinya dengan wajah serius.

Tindakan beliau bagaimana pun membuat dewan gamat dengan ketawa perwakilan yang jarang-jarang melihat pengerusi tetap bertindak demikian sewaktu perbahasan.

Sebelum itu, Norani turut mengkritik skim mikro kredit kerajaan

Selangor yang menurutnya tidak menyeluruh dan hanya memberikan

pinjaman dalam jumlah yang kecil.

Beliau turut mengkritik skim itu yang dakwanya diberikan kepada

peniaga kecil dengan jumlah anak kurang daripada tiga orang.

"Sudah meniaga dan kaya tapi tak bagi buat anak kenapa?" tanya Ramli mengundang ketawa kecil hadirin.

Beliau turut membuat perwakilan ketawa apabila menggunakan perumpamaan tangga dan lif sewaktu membandingkan perdana menteri dan ketua pembangkang.

Menurutnya, Datuk Seri Najib Razak berpengalaman luas dalam

pentadbiran negara kerana bermula dari bawah berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat layanan istimewa dari Tun Dr Mahathir sewaktu berada dalam Umno.

"Datuk Najib naik satu tingkat satu tingkat pakai tangga.

"Datuk Seri Anwar pakai lif, itu pun masa zaman Tun (Mahathir)" katanya.

ADS