Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR timbang prosiding hina mahkamah ke atas Khairy

PKR bercadang untuk memulakan prosiding menghina mahkamah ke atas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang didakwa memberi kenyataan berlainan daripada persetujuan bersama yang direkodkan di mahkamah dalam penyelesaian kes saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya.

Timbalan presiden PKR Azmin Ali berkata, Khairy dalam persetujuan bersama itu bagi kes saman fitnah itu mengaku tidak pernah mendakwa Anwar sebagai "pengkhianat bangsa Melayu" dan "boneka Amerika Syarikat dan Yahudi" dalam satu ceramah di Perak pada 1 Ogos 2007.

Azmin berkata Khairy bagaimanapun menukar pendiriannya dalam akhbar Sinar Harian Online semalam apabila mengaku tidak menarik kenyataannya dan menyalahkan akhbar yang didakwa salah memetik kenyataannya dalam ceramah tersebut.

"Saya bercadang supaya ada prosiding menghina mahkamah (terhadap Khairy). Kita sedang berbincang dengan peguam (tentang perkara ini), dan kita

meneliti dengan rapat kenyataan-kenyataan beliau," katanya.

Khairy dalam Sinar Harian Online semalam dilaporkan berkata beliau tidak menarik balik kenyataannya tentang Anwar dan mendakwa kenyataannya yang dipetik akhbar pada 2007 itu tidak betul dan tidak tepat.

Laporan Sinar Harian Online itu semalam menyebut, beliau turut berpuas hati kerana Anwar meminta kes ini diselesaikan tanpa kos dan dengan permohonan maaf.

"Ya, beliau tarik balik samannya tanpa kos atau minta saya mohon maaf. Saya cuma perlu kata, saya tidak cakap apa yang dilaporkan dalam akhbar dari ucapan saya," kata Khairy seperti dipetik.

Anwar bagaimanapun ketika mengulas persetujuan yang dicapai untuk menyelesaikan kes itu semalam berkata persetujuan itu bermakna Khairy menarik balik kata-kata tersebut.

Katanya, plaintif telahpun mengemukakan bukti dalam laporan The Star dan juga transkrip yang diserahkan oleh peguam Khairy kepada mereka.

Anwar berkata, bukti berkenaan menunjukkan bahawa kata-kata tersebut sememangnya diucapkan oleh Khairy dalam majlis di Kuala Kangsar itu.

ADS