Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pensyarah dakwa sekolah Cina gagal pupuk perpaduan

Sekolah rendah dan menengah aliran Cina gagal memupuk perpaduan di kalangan pelajar sekolah, dakwa seorang pensyarah pendidikan dalam satu forum di Shah Alam petang semalam.

Prof Dr Rosnani Hashim mendakwa bahawa murid yang belajar di sekolah itu lemah penguasaan bahasa Melayu di samping kurang berinteraksi dengan murid daripada etnik lain.

"Mereka yang di sekolah Cina lemah bahasa Melayu, inilah kesannya daripada masih meraikan sekolah persendirian Cina," katanya sewaktu bercakap dalam forum 'Ke Arah Mana Dasar Pendidikan Negara' di Universiti Selangor, Shah Alam.

azlan Beliau turut mengkritik pertubuhan Dong Jiao Zhong yang menurutnya melakukan perkara-perkara "yang tidak merestui perpaduan".

"Kenapa kita kata mereka ini tidak merestui perpaduan? Kerana mereka meminta perkara-perkara yang tak boleh membuat kita berbaik-baik (sesama kaum).

"Pertama, mereka tak boleh terima bahasa Malaysia sebagai bahasa subjek sivik.

"(Ini) memang tidak rasional langsung dan tiada sifat kenegaraan.

"Kedua, mereka mengkehendaki semua guru yang ditempatkan di sekolah mereka mendapat kepujian dalam bahasa Mandarin di peringkat SPM," katanya sambil menambah beliau tidak melihat logiknya untuk seorang guru bahasa Melayu di sekolah Cina dikenakan syarat berkenaan.

Terdahulu, beliau turut memuji Penyata Abdul Rahman Talib yang menurutnya berani menyatu padukan rakyat negara ini.

Sedangkan dasar pendidikan hari ini, kata Rosnani, cenderung digubal untuk kepentingan politik dan bukan demi perpaduan nasional.

"Dasar pendidikan dibuat untuk mengelakkan kontroversi politik dalam erti kata lain tidak mahu kehilangan undi.

"Saya anggap Allahyarham Abdul Rahman Talib berani kerana melaksanakan dasar yang dianggap tidak baik oleh satu masyarakat tetapi di peringkat sekolah menengah ia menyatu padukan kita.

"Jadi sehingga ke hari ini saya ternanti-nanti di manakah ahli politik yang berani membuat dasar politik yang menyatukan kita bukan sahaja di sekolah menengah tetapi juga dari sekolah rendah lagi," katanya.

Penyata Rahman Talib yang diperkenalkan bekas menteri pelajaran, Abdul Rahman Talib mewajibkan bahasa Melayu diajar di semua sekolah rendah.

Ia juga mewajibkan mereka yang mahu melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah untuk lulus mata pelajaran itu.

Aziz Bari berpandangan berbeza

Seorang lagi ahli panel, sarjana Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari bagaimana pun mempunyai pandangan berbeza dengan Rosnani.

Menurutnya, sebarang dasar perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan namun ia tidak boleh terlalu kaku sehingga menidakkan hak orang lain.

"Sesuatu dasar itu tidak boleh dogmatik, terlalu over (melampau) sangat hendakkan perpaduan dan sebagainya.

"Saya tak boleh dengar perkara macam ini kerana hak itu penting juga.

"Kalau kita gagal memahami soal ini, orang belakang (generasi hadapan) akan susah," katanya.

Menurutnya, institusi pendidikan yang dioperasikan secara persendirian tidak tertakluk kepada persetujuan orang ramai dalam isu bahasa pengantarnya.

Bagaimana pun katanya, campurtangan politik menyebabkan perkara itu tidak menjadi kenyataan.

Beliau mengambil contoh permohonan penubuhan Universiti Merdeka pada tahun 80-an yang tidak dibenarkan mahkamah kerana universiti itu mahu menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar.

Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai 'keputusan kayu' kerana campurtangan daripada menteri pelajaran pada masa itu dan juga sentimen perkauman pada masa tersebut.

Menyentuh soal perpaduan menerusi pendidikan pula, Aziz Bari berpendapat ia adalah isu yang gagal diselesaikan golongan terdahulu dan tidak perlu dibincangkan lagi.

"Sekarang ini kita masih bercakap soal ini kerana datuk nenek kita gagal menangani soal ini.

"Jadi mereka yang masih bercakap perkara itu saya fikir orang itu ketinggalan keretapi, bangun lambat, masih bercakap perkara lama sedangkan Perlembagaan kita sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan semasa," katanya.

Forum tersebut dimudahcara Dekan Pusat Pengajian Siswazah Unisel, Prof Dr Mohd Nor Nawawi dan turut disertai mantan pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, Abas Awang.

ADS