Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang ahli Badan Peguam Malaysia membantah tindakan badan tersebut yang menjemput seorang pemegang jawatan parti politik sebagai penceramah dalam satu bengkel yang akan diadakan esok.

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, seorang peguam membantah kehadiran timbalan setiausaha agung PKR, Steven Choong ke bengkel 'Bagaimana Mahu Menyediakan Petisyen Pilihan Raya: Garis Panduan dan Proses' itu.

Beliau mendakwa, tindakan itu bertentangan dengan "tugas, fungsi dan kuasa Majlis Peguam yang dinyatakan dengan jelas dalam Seksyen 57 Akta Profesion Undang-undang 1976".

Mohd Khairul Azam diiringi seramai kira-kira 15 orang lain yang mendakwa mewakili Pertubuhan Suara Inspirasi Malaysia dan Kelab Warisan Malaysia.

Kumpulan itu berhimpun di hadapan bangunan Majlis Peguam selama kira-kira 20 minit pagi ini untuk menyatakan bantahan tersebut.

Menurutnya, mereka juga mahu para peguam agar lebih mementingkan anak guam masing-masing berbanding politik.

Beliau mendakwa terdapat peguam yang juga pemimpin politik yang menangguhkan kes sehingga 85 kali.

"Majlis Peguam perlu serius dalam hal ini dan (peguam) perlu mengutamakan klien dan bukannya sibuk berpolitik," katanya.

Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee dalam reaksi segeranya berkata acara anjuran badan tersebut bukanlah satu platform untuk Choong berkempen untuk Pakatan.

Sebaliknya, ia hanyalah wadah untuk menjelaskan undang-unsang pilihan raya, katanya.

"Saya cadangkan agar mereka (peserta protes) hadiri bengkel itu dan buat penilaian mereka sendiri," katanya.

 

ADS