DAP dijangka kekal dengan 3 exco di S'gor
DAP dan PKR masing-masing dijangka diperuntukkan tiga jawatan ahli exco, sementara PAS akan diberikan empat kerusi bagi memenuhi hasrat Sultan Selangor yang mahukan enam daripada 10 ahli exco terdiri daripada Melayu.
Sumber-sumber dalaman Pakatan Rakyat Selangor memberitahu
Malaysiakini
, nisbah 6:4 itu bermaksud DAP tidak boleh diperuntukkan empat jawatan ahli exco sebagaimana yang dipersetujui sebelum ini, kerana semua wakilnya akan merupakan bukan Melayu dan tiada ruang bagi pelantikan bukan Melayu dari PKR.Seorang pemimpin Pakatan yang tidak mahu namanya disebut berkata begitulah kedudukannya walaupun terdapat rayuan daripada menteri besar.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengadap Sultan Selangor Isnin lalu untuk memohon perkenan mengenai barisan ahli exco terbaru.
Semua 10 ahli exco akan mengangkat sumpah di Istana Alam Shah di Klang pagi esok.
Bagi jawatan speaker DUN dan timbalannya masing-masing akan diserahkan kepada DAP dan PKR memandangkan PAS mempunyai jumlah ahli exco teramai.
Difahamkan tiga exco daripada DAP yang dijangka dilantik ialah Datuk Teng Chang Khim (Sungai Pinang), Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan) and V Ganabatirau (Kota Alam Shah). Manakala Hannah Yeoh (Subang Jaya) dilihat akan dilantik menjadi speaker DUN.
Jika Yeoh dilantik menjadi speaker, beliau mencipta sejarah sebagai speakar wanita pertama yang dilantik dalam Dewan Undangan Negeri di Malaysia. Timbalannya dijangka disandang oleh ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.
Tiga exco daripada PKR ialah Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Rodziah Ismail (Batu Tiga) and Dr Daroyah Alwi (Sementa).
Barisan itu membayangkan bahawa Khalid memutuskan untuk meminimakan pengaruh Timblan Presiden PKR yang juga Ketua PKR Selangor Azmin Ali dalam barisan exco negeri dengan hanya Dr Daroyah (kiri) - kali pertama menjadi exco - dilihat sebagai penyokong Azmin.
Empat exco lain daripada PAS kemungkinan adalah Halimah Ali (Selat Kelang), Iskandar Abdul Samad (Chempaka), Sallehen Mukhyi (Sabak) and Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang).

