'Berita baik untuk tahanan ISA'
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata anggota keluarga kepada saki baki tahanan ISA, yang kini masih ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan 2012 (Langkah-langkah Khas) (Sosma), bakal menerima “berita baik” menjelang Hari Raya Aidilfitri.
"Ada berita baik untuk mereka (tahanan dan keluarga) tahanan. Polis akan membuat pengumuman (tentangnya) tidak lama lagi," kata Zahid pada sidang media di Selayang pagi ini.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sama ada "berita baik" tersebut bermaksud bahawa saki baki tahanan tersebut akan dibebaskan.
Laporan pada Jun lalu menyebut seramai 15 orang masih ditahan bawah Sosma, yang mengehadkan penahanan tanpa bicara, selepas ISA dimansuhkan pada 22 Jun tahun lalu.
Sementara itu, Zahid berkata pihak KDN tidak bercadang untuk bertindak menyiasat dakwaan kewujudan tentera siber 'Red Bean Army' yang didakwa didanai DAP.
Menurutnya, perkara itu tidak terletak di bawah bidang kuasa kementeriannya.
"Ia terletak bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya ringkas sewaktu menjawab soalan wartawan.

