Malaysiakini BERITA

Orang Asli bantah pindaan akta tanpa pengetahuan

Ahmad Fadli KC  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Masyarakat Orang Asli mempertikaikan langkah kerajaan untuk meminda Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) di Parlimen kerana ia didakwa dibuat tanpa pengetahuan mereka sebagai pihak berkepentingan.

Penyelaras Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) Tijah Yok Chopil berkata, pandangan pakar hak asasi, Majlis Peguam, Jawatankuasa Hak Asasi Orang Asli dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) juga tidak diambil kira.

NONE "Kita bantah pindaan dibawa ke parlimen sebab tak ada salinan (pindaan) yang diberi kepada kita.

"Kerajaan harus serahkan salinan pindaan itu sekarang, kalau tidak tiba-tiba dia kata nak bawa ke parlimen kita tak tahu apa dalamnya," kata Tijah dalam sidang media pagi ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 28 Jun lalu dilaporkan berkata, kerajaan akan meminda Akta 134 bagi menambah baik perlindungan terhadap masyarakat Orang Asli.

Katanya, pindaan itu akan dibincangkan secara terperinci dengan semua pihak berkaitan termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi memastikan ia dilaksana secara sistematik dan menyeluruh.

Beliau berkata, penambahbaikan itu antara lain mencakupi hak serta kepentingan golongan berkenaan dari aspek adat, kemiskinan, pendidikan dan kesihatan, lapor Berita Harian.

Semalam, Pesuruhjaya Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee juga dilaporkan berkata, pindaan itu juga masih belum dibincangkan dengan mereka.