PSM: Demo besar jika Parlimen tak bahas TPPA
Parti Sosialis Malaysia (PSM) memberi amaran untuk mengadakan himpunan besar-besaran bagi membantah Perjanjian Perkongsian Rentas Pasifik (TPPA) jika kerajaan menandatanganinya tanpa perbahasan di Parlimen.
Bendahari PSM, A Sivarajan berkata Amerika Syarikat yang merupakan salah satu pihak dalam perjanjian perdagangan itu sendiri sudah membentangkannya di Kongres, namun Malaysia sehingga kini gagal memberikan jawapan mutlak isi perjanjian itu kepada orang ramai.
"Kalau TPPA dikuatkuasakan, kita akan gembleng 28 juta rakyat Malaysia seluruh negara untuk tentang perjanjian ini," kata Sivarajan kepada pemberita di hadapan pintu Parlimen pagi tadi.
Sivarajan bersama kira-kira 50 orang penyokong PSM berhimpun di hadapan Parlimen selama kira-kira 45 minit pagi ini.
Beliau bersama beberapa orang wakil kemudiannya dibenarkan memasuki bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada para MP pada kira-kira jam 11.15 pagi.
Memorandum itu ditujukan kepada yang dipertua Dewan Rakyat, perdana menteri, ketua pembangkang, dan pengerusi kelab penyokong kerajaan.
Ia antara lainnya menuntut agar rundingan TPPA ditangguhkan dan supaya ia dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen.
Memorandum itu juga menuntut agar faedah kos perjanian itu dianalisis dan diterangkan kepada orang ramai.
Menurut Sivarajan, memorandum itu turut diperakui 44 kumpulan lain terdiri daripada NGO, pertubuhan masyarakat sivil dan kesatuan sekerja.
TPPA yang dianggap pemerhati sebagai penuh rahsia itu dijangka diselesaikan menjelang Oktober ini di Brunei dan rundingan pusingan ke-18 sedang berlangsung di Sabah bermula 15 Julai sehingga 25 Julai.
Perjanjian itu turut bantahan komuniti perniagaan apabila ia dikatakan akan merencatkan pertumbuhan ekonomi dalam kalangan usahawan di negara ini, terutamanya, bumiputera.

