Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kenderaan yang murah sukar dihasilkan pembuat kenderaan kerana faktor kos pengeluaran yang tinggi, kata wakil industri pembuatan kereta tempatan dalam satu forum automotif semalam.

Pengarah Urusan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), Datuk Aminar Rashid berkata, di antara faktor pembuatan yang menyukarkan penurunan harga kenderaan adalah pelaksanaan skim gaji minimum dan pelanjutan had minimum umur persaraan.

"Kos pengeluaran meningkat, lihat sahajalah (pelaksanaan) gaji minimum dan pelaksanaan gaji minimum.

"Oleh itu, tuntutan harga kenderaan agar menjadi lebih murah bukan satu perkara mudah buat pengeluar," katanya sewaktu bercakap pada forum #MyAutomotiveIndustry di Kuala Lumpur lewat petang semalam.

Tegasnya, pengguna perlu meneliti aspek-aspek lain yang sebenarnya menjadikan kos memiliki kenderaan di negara ini amat berpatutan berbanding di negara-negara jiran.

"Contohnya, bahan bakar kenderaan disubsidi dengan banyak (oleh kerajaan).

"Kadar faedah sewa beli Malaysia juga adalah antara yang terendah di rantau Asean," katanya lagi.

Honda: Perlu nilai keseluruhan milikan kereta

Pendapat itu disokong Pengurus Pemasaran Kanan Honda Malaysia, Akkbar Danial yang berpandangan pengguna perlu meneliti faktor keseluruhan pemilikan kenderaan yang masih mampu dimiliki rakyat negara ini selain faktor harga kenderaan itu sendiri.

"Saya tidak akan sebut nama tetapi ada satu negara yang memperkenalkan skim pemilikan kereta pertama pada tahun lepas.

"Namun, rakyatnya kemudian menyedari mereka sebenarnya tidak mampu untuk memiliki kereta itu dan menjelang tahun ini yang merupakan tahun kedua skim itu, ramai daripada mereka membatalkan tempahan," katanya.

Berbeza dengan Aminar dan Akkbar, wakil penganjur forum berpendapat harga kereta boleh diturunkan jika duti eksais dikurangkan menerusi aktiviti nilai tambah pengeluaran yang dibuat di dalam negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Madani Sahari berkata aktiviti seperti kajian dan pembangunan (R&D) yang dibuat dalam negara dan penggunaan lebih banyak bahagian kenderaan keluaran tempatan mampu mengurangkan duti eksais.

Ini kerana katanya, duti import yang sudah dihapuskan sejak tahun 2010 menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan cukai jualan yang seragam sebanyak sepuluh peratus tidak lagi boleh diubahsuai untuk membantu mengurangkan harga kenderaan.

MAA: Kuasa pasaran tentukan harga terbaik

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad bagaimana pun percaya kaedah itu tidak adil kerana ia memberikan kekurangan kepada pengeluar yang menghasilkan kenderaan dalam jumlah yang kecil dan pengimport kenderaan dipasang sepenuhnya (CBU).

Beliau sebaliknya percaya faktor kuasa pasaran dan persaingan di antara pengeluar akan menentukan harga kenderaan yang terbaik untuk pengguna.

Bagaimana pun, beliau tetap menggesa kerajaan agar meneliti lagi mekanisme untuk mengurangkan duti eksais.

"Kerajaan perlu meneliti perkara ini semula,"katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebelum ini berkata kerajaan berjanji akan mengurangkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun sehingga 2017.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli bagaimana pun menempelak pengumuman itu yang disifatkannya tidak ikhlas dan tidak memenuhi manifesto kerajaan dalam pilihan raya kerana harga kereta hanya akan turun sepenuhnya selepas pilihan raya umum ke-14.

ADS