Timbalan presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam memberi jaminan bahawa ahli parti yang menyatakan sokongan terbuka kepadanya untuk bertanding jawatan presiden sebelum ini, tidak akan dianiaya mana-mana pihak ekoran pengumuman tiadanya pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti itu.

Beliau percaya penyokongnya dan penyokong Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel akan mengambil masa untuk 'pulih' dari pengumuman itu namun, beliau percaya ia mampu dilakukan dengan sokongan pimpinan tertinggi parti.

NONE "Mereka (penyokong) akan ambil masa untuk pulih balik, termasuklah penyokong kedua-dua pihak.

"Seperkara yang akan membantu meredakan perasaan mereka adalah, pemimpin parti akan adil kepada semua di peringkat akar umbi.

"Kita boleh atasi masalah itu," katanya dalam sidang media beliau di Kuala Lumpur petang tadi.

Menurut Subramaniam, Palanivel pagi tadi mengumumkan tidak akan ada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti dan perkara itu adalah "persetujuan bersama di antara presiden, timbalan presiden dan naib-naib presiden MIC".

Subramaniam yang juga menteri kesihatan berkata langkah tersebut akan menguatkan lagi suara orang India sebagai satu komuniti yang bersatu padu.

Dapat sokongan penuh

Beliau juga memberi jaminan bahawa Palanivel akan mendapat sokongan penuh daripadanya dan tidak akan dianggap sebagai presiden yang akan bersara walaupun berjanji akan melepaskan jawatan itu dalam suku pertama 2016.

"Kita tidak akan beri beliau perasaan sebagai outgoing president .

"Kita akan terima beliau sebagai presiden penuh dan saya akan beri kerjasama sepenuhnya kepada beliau," katanya lagi.

Ditanya mengapa beliau membungkam tidak mengumumkan sama ada akan mencabar Palanivel atau tidak sebelum ini, Subramaniam berkata tindakan itu didorong sentimen penyokongnya yang mempunyai perasaan berbelah bahagi di peringkat akar umbi.

Jelasnya, sebahagian daripada mereka mahukan beliau bertanding tetapi sebahagian yang lain pula risau pertandingan itu akan mewujudkan perpecahan dalam parti.

"Pengumunan presiden yang beliau akan mempertahankan jawatannya untuk satu penggal lagi dan perasaan akar umbi diambil kira sewaktu saya mempertimbang perkara ini.

"Dan akhirnya keputusan bersama ini dicapai sewaktu saya sedang membuat keputusan," katanya.

1. Palanivel sahkan lepas jawatan presiden MIC 2016