Saya pernah terfikir tinggalkan politik, kata KJ
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata beliau pernah terfikir untuk meninggalkan politik apabila kehilangan pengaruh selepas terpilih mengetuai Pemuda Umno.
Bagaimanapun, beliau terus kekal dalam parti walau tidak diberi kepercayaan untuk menjadi anggota jemaah menteri.
"Saya melalui lima tahun tanpa pengaruh, dipilih menjadi ketua pemuda tetapi tidak dilantik sebagai menteri.
"Saya pernah beberapa kali terfikir untuk berhenti bagaimanapun, saya terus kekal dalam parti meneruskan program untuk kenal parti dan akar umbi," katanya.
Bagaiamanapun, kerja kerasnya selama ini akhirnya berbaloi apabila beliau sekarang mempunyai pandangan yang lebih seimbang dalam politik dan usahanya selama ini mula menunjukkan hasil.
"Kini saya ada pandangan yang lebih seimbang. Dalam politik, pintu akan terbuka tetapi usaha perlu dilakukan untuk kita menyelami perasaan orang lain," katanya.
Tambahnya, beliau tidak pernah sunyi di dalam BN kerana melihat perdana menteri Datuk Seri Najib Razak juga seorang yang progresif.
MP Rembau itu berkata, beliau melihat demikian melalui agenda transformasi Najib.
Katanya, beliau akan berasa tersisih jika Najib tidak berkongsi pandangan transformasi tersebut.
"Beliau (berkongsi pandangan tersebut) dan saya berani katakan Kabinet hari ini penuh dengan mereka yang progresif dan sederhana dan saya tidak rasa tersisih," katanya.
Beliau mengulas soalan seorang peserta Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia ketujuh di Kuala Lumpur petang tadi.
Mahasiswa tersebut bertanya kepada Khairy jika beliau pernah berasa "sunyi" dalam BN selama ini.

