'Keutamaan polis bukan jaga hak asasi penjenayah'
Bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan mempertahankan tindakan polis menembak mati lima orang penjenayah dalam satu kejadian di Pulau Pinang pada 19 Ogos lalu, yang dipersoalkan DAP.
Katanya, matlamat polis apabila menjalankan sebarang operasi membanteras jenayah adalah menjaga keselamatan orang awam dan diri mereka, dan bukan hak asasi penjenayah.
"Pada saya, seseorang penjenayah yang bersenjata ini, dia sudah menempah maut. Pihak polis jaga keselamatan dia dahulu dan keselamatan orang ramai.
"Ini kerana penjenayah yang bersenjata ini boleh mengancam keselamatan orang ramai," katanya sewaktu berucap pada satu forum di Shah Alam petang ini.
Menurutnya, tidak logik jika ada pihak yang mempersoallkan sekiranya polis melepaskan tembakan amaran terlebih dahulu sebelum menembak mati suspek terbabit.
"Masa kes di Pulau Pinang, mereka hendak polis buat bagaimana?
"Takkan mereka mahu polis tembak ke siling (kondominium) dan kemudian melantun ke tempat lain?" katanya.
Selain DAP, MIC Pulau Pinang menerusi ketua pemuda negeri, J Dhinagaran mempersoalkan sebab polis memilih untuk menembak lima penjenayah itu.
"Walaupun polis mendapat pujian, terdapat persoalan kenapa polis tidak berusaha menangkap (mereka berlima)," kata Dhinagaran dalam kenyataannya.
Anggota keluarga mangsa mendakwa, kelima-lima suspek itu sedang tidur ketika polis menyerbu di pangsapuri Century Bay pada jam 4.30 pagi, berdasarkan keadaan mayat yang dijumpai di bilik-bilik berasingan.
Bernama sebelum ini melaporkan, kelima-lima individu berusia di antara 23 hingga 27 tahun itu dikehendaki kerana terbabit dalam kes bunuh dan cubaan bunuh di Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan membabitkan penggunaan senjata api.

