Bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Tan Sri Mohd Zaman Khan berkata Ordinan Darurat (EO) yang dimansuhkan sebelum ini membolehkan orang ramai hidup dengan aman dan tenteram.

Katanya, undang-undang tersebut memastikan penjenayah tidak berkeliaran di kalangan masyarakat.

Bercakap pada satu forum di Shah Alam petang ini, beliau menggesa agar satu undang-undang baru seperti Ordinan Darurat diperkenalkan bagi membolehkan polis membanteras jenayah dengan lebih mudah dan berkesan.

NONE "Sebelum akta ini (EO) dimansuhkan, adakah kongsi gelap berani tampil? Sekarang mereka berani buat perarakan kematian bagi tunjuk kuasa.

"Kita jadikan undang-undang ini (EO), bukan untuk aniaya manusia lain, tetapi untuk pastikan kita hidup bebas, dan bukan mereka (ahli kongsi gelap) hidup bebas," katanya.

Pandangan Zaman Khan itu turut dikongsi bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan.

Menurut Musa, undang-undang konvensional tidak berkesan dalam melumpuhkan gerakan kongsi gelap kerana ia hanya mampu menangkap penjenayah kecil-kecilan sahaja, dan bukan ketua kongsi gelap.

"Jika polis guna undang-undang konvensional, selalunya yang ditangkap adalah orang-orang bawah sahaja.

"Mereka ini takut untuk beritahu siapa ketua mereka atau ada pemisahan (di antara orang atasan) dengan orang-orang di bawah ini.

"Maka dengan EO, kita boleh tangkap, dan tahu siapa ketua mereka," kata Musa.

Pada masa sama katanya, Akta Pencegahan Jenayah yang disebut-sebut sebagai undang-undang yang akan bakal digunakan oleh polis, juga tidak sebegitu berkesan seperti EO.

Menurutnya, ketua-ketua kongsi gelap masih boleh berhubung dengan konco-konco mereka dan memberikan arahan untuk melakukan jenayah.

"Jadi saya percaya polis perlu diberi undang-undang baru yang sengatnya lebih untuk mengatasi kes-kes ini," kata Musa.

Musa Hassan dan Zaman Khan bercakap pada Wacana Siri Ke-23 Sinar Harian bertajuk "Polis Hilang Sengat: Apa Selepas EO" di Shah Alam petang tadi.

Forum itu diturut disertai tokoh kewartawanan, Datuk Abdul Kadir Jasin dan dimudahcara penganalisis jenayah, Datuk Akbar Satar.