dikemaskini Laporan polis yang telah dibuat terhadap penulis blog Papagomo sebelum ini sememangnya telah disiasat dan polis akan meneliti mana-mana peruntukan undang-undang untuk tindakan selanjutnya, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Wan Muhammad Azri Wan Deris adalah penulis blog Papagomo.

"Tindakan (selanjutnya) mengikut undang-undang yang (sedia) adalah, yang akan diambil," kata Khalid sewaktu menjawab soalan pemberita hari ini.

"Semestinya (laporan-laporan terhadapnya) telah disiasat, dan tindakan seterusnya akan diambil, apa juga peruntukan undang-undang yang kita akan ambil, kita akan ambil," kata Khalid.

Selain memutuskan bahawa Wan Muhammad Azri memang penulis blog pro-Umno, Papagomo, mahkamah turut memutuskan Wan Muhammad Azri bakal berdepan dengan prosiding menghina mahkamah berhubung satu lagi tulisannya yang mengaitkan hakim yang mendengar kes itu dan dianggap memudaratkan badan kehakiman.

Dia juga turut diperintah membayar RM500,000 dalam satu kes fitnah membabitkan seorang ahli perniagaan.

Pada 27 Januari depan juga perbicaraan saman fitnah RM100 juta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Papagomo juga akan turut kembali didengar dengan Anwar dijangka memberi keterangan pada hari tersebut.

Anwar menyaman Papagomo kerana mengaitkan beliau dan seorang lelaki dalam satu video seks dan mengeluarkan empat siri perkataan fitnah dalam laman webnya pada 16, 17, 19 dan 20 Mac lepas.

1. Identiti Papagomo disahkan, berdepan hina mahkamah

2. Keputusan kes Papagomo diharap akhiri politik kotor