Nurul Izzah: 'Kesinambungan penganiayaan politik'
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan tindakan peguam Datuk Seri Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes Liwat II sebagai kesinambungan kepada penganiayaan politik terhadap Datuk Seri Anwar ibrahim
"Kita sudah jadi mangsa penganiayaan politik untuk tempoh yang cukup lama tetapi kita perlu hormati keputusan hakim-hakim.
"Kita perlu melawan dan lakukan yang terbaik dalam menyediakan pembelaan.
"Beliau (Shafee) diketahui pernah menjadi peguam kepada perdana menteri dan isterinya.
"Beliau juga ada sewaktu Saiful Bukhari (pengadu kes Liwat II) hadir di kediaman perdana menteri dan mengadu kepada perdana menteri.
"Saya rasa fakta ini menceritakan segalanya tetapi saya akan hormati keputusan hakim," katanya kepada Malaysiakini.
Beliau berkata demikian sewaktu ditemui selepas pelancaran pusat latihan PKR yang dikenali sebagai Reformasi: Diwan Reformasi, Demokrasi dan Upaya Masyarakat, di Petaling Jaya petang tadi.
Anwar sebelum ini memohon mengenepikan Shafee daripada bertindak mendakwanya dalam rayuan kes Liwat II namun hakim memutuskan untuk membenarkan Shafee meneruskan pendakwaan.
Terdahulu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pidato perasmiannya menegaskan 'reformasi' bukanlah mengenai dirinya sahaja tetapi satu penzahiran penolakan rakyat kepada sistem yang zalim.
"Ada orang kata reformasi tentang individu tapi tak benar, orang pegang sepanduk tapi saya berehat di (penjara) Sungai Buloh.
"Suara rakyat suara keramat beri pengertian bahawa ada kesedaran menolak sistem yang mengongkong dan zalim," kata Anwar.
1. Shafee boleh bertindak untuk pendakwaan
2. Karpal: Shafee saksi material, tak boleh mendakwa
3. Anwar fail permohonan lucut kelayakan Muhammad Shafee

