Mukhriz: Dah nasib badan saya anak Mahathir
Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir berkata beliau tidak dapat mengelak daripada dikaitkan dengan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelang pemilihan naib presiden Umno kali ini.
"Itu sudah nasib badan saya, tetapi bagi saya ada dua yang saya maksudkan sebagai 'nasib badan' ini.
"Pertama, sesetengah orang akan ingat saya mewarisi genetik ketokohan itu. Lagi satu, nasib badan saya ini, ayah saya sentiasa mahu saya dicabar dahulu," katanya.
Mukhriz menggalas tugas sengit berdepan tiga penyandang - Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein - dan dua pemimpin heavyweight Umno Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Ali Rustam.
Mukhriz sebelum ini sudah menjelaskan bahawa beliau melakar sendiri laluan politiknya dan tidak bergantung atau menjadi proksi kepada bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bercakap pada forum Impak Krisis Timur Tengah kepada Malaysia anjuran Sinar Harian , bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu turut mencuri peluang berkempen sempena pemilihan Umno.
Jelasnya, agenda memajukan orang Melayu adalah agenda nasional dan orang bukan Melayu sebenarnya perlu turut membantu menjayakannya.
"Apabila kita bercakap tentang apa yang kita boleh lakukan untuk mengkedepankan lagi kepentingan orang Melayu, bukan hanya orang Melayu yang patut menyumbang tetapi yang bukan Melayu juga saya ingat harus membantu kita mencapai tahap yang mana duduk dan diri kita ini sama rendah dan sama tinggi dengan bangsa-bangsa yang lain.
"Apabila Melayu hidup senang, maka pasaran kita akan jadi lebih besar.
"Kita akan membeli barangan dan produk daripada bukan Melayu, semua akan dapat manfaatnya," katanya.

