Calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim mahu menawarkan satu pendekatan politik baru buat pengundi Sungai Limau yang cuba dipikatnya sejak sembilan hari lalu.

NONE"Ia dinamakan politik damai. Pendekatan agresif tidak lagi sesuai sekarang ini terutamanya dengan generasi muda," kata Suhaimi kepada pemberita yang menemui beliau di rumahnya di Titi Batu, Mukim Sg Daun, semalam.

"Saya tak mahu bergaduh dengan lawan saya. Mesej saya pada orang ramai, pilih saya kerana saya calon kerajaan, kita tepati janji kita," kata bekas pensyarah kanan universiti yang menyambut hari kelahirannya yang ke-53 sehari selepas penamaan calon pada 23 Oktober lalu.

Sohaimi berdepan pertembungan satu lawan satu dengan calon PAS, Mohd Azam Abd Samat, 37 tahun dalam pilihan raya kecil yang memakan tempoh kempen selama 12 hari.

Hari membuang undi pula jatuh pada 4 November ini.

NONEBercakap lanjut, Sohaimi berkata beliau turut menawarkan politik matang untuk penduduk Sungai Limau.

"Dalam satu sistem demokratik, orang ramai ada hak untuk memilih wakil rakyat.

"Orang ramai bukan sahaja mengambil kira faktor personaliti, tetapi juga siapa kerajaan di belakang personaliti berkenaan," kata Sohaimi.

Pendekatan yang sama juga turut ditawarkan calon PAS, Mohd Azam yang sepanjang tempoh kempen belum pernah melontarkan sebarang kritikan kepada lawannya.

Kedua-dua mereka faham dengan demografi pengundi Sungai Limau - satu kawasan luar bandar di mana rakan-rakan dan ahli keluarga dengan fahaman politik berbeza hidup dengan rukun dan damai.