'Jangka hayat kenderaan spekulasi pembangkang'
dikemaskini Kerajaan tidak pernah merancang untuk melaksanakan polisi jangka hayat kenderaan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi.
"Kerajaan tiada rancangan begitu," katanya pada sidang media pagi di Parlimen tadi sambil menyifatkan ia spekulasi Pakatan Rakyat semata-mata.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Dr Wong Shaw Voon yang turut hadir menegaskan, pihaknya tidak pernah sama sekali membuat cadangan polisi itu kepada kerajaan.
Menurutnya, mereka sebelum ini hanya pernah menjalankan ujian pelanggaran melibatkan kenderaan berusia 12 tahun ke atas di Melaka.
Sementara itu, Bernama melaporkan, ketika menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini, Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak merancang untuk menetapkan tempoh usia kenderaan bagi tujuan pelupusan kerana tidak mahu membebankan rakyat.
Katanya, cadangan Miros itu hanyalah antara penemuan kajian badan tersebut yang mendapati kenderaan melebihi usia 12 tahun tidak selamat.
"Kerajaan tidak akan membebankan rakyat," katanya ketika menjawab soalan tambahan Sim itu
Sim ingin tahu rancangan sebenar kerajaan berhubung pelaksanaan had jangka hayat kenderaan di negara ini.
Jumaat lalu, Prof Dr Wong berkata kenderaan berusia lebih 12 tahun tidak selamat digunakan berikutan pelbagai kerosakan yang mungkin tidak disedari pemandu dan mengurangkan daya serapan tenaga pelanggaran ketika berlaku kemalangan.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), mengenai pengurangan cukai bagi kenderaan mesra alam seperti jenis hibrid atau teknologi hijau, Abdul Aziz berkata kerajaan belum ada cadangan untuk berbuat demikian.
"Walaupun sistem cukai berdasarkan (jenis enjin) karbon telah dilaksanakan
di Eropah dan United Kingdom, kerajaan akan merujuk kepada Kementerian Kewangan terlebih dahulu untuk perubahan kadar cukai bagi enjin yang menggunakan sistem karbon berkenaan," katanya.
Abdul Aziz berkata kutipan hasil daripada cukai lesen kenderaan bermotor menyumbang lebih kurang 70 peratus daripada kutipan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan setiap tahun.

