Kementerian: Bayaran RM7.2b perunding demi rakyat
Bayaran RM7.2 bilion yang dibuat kerajaan dalam tempoh lima tahun, atau purata RM4 juta sehari, kepada firma perunding swasta dibuat demi menjayakan projek kerajaan, jelas Kementerian Kewangan.
"Kesemua perbelanjaan tersebut adalah untuk menjayakan pelaksanaan projek kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara," menurut kenyataan kementerian hari ini.
Anggota Parlimen Kelana Jaya Wong Chen pada 13 November lalu mendedahkan jawapan bertulis kementerian kewangan di Dewan Rakyat berhubung bayaran kerajaan itu, yang meningkat 13.5 peratus setiap tahun bermula 2009 sehingga Oktober 2013.
Dalam sidang media di lobi Parlimen, beliau mempersoalkan langkah itu kerana orang ramai sukar menilai sama ada kerajaan membayar yuran perkhidmatan yang wajar kepada perunding berkenaan.
Pergantungan kepada firma perunding swasta itu juga menurutnya mencerminkan kurangnya kepercayaan kepimpinan BN terhadap perkhidmatan awam.
Sementara itu, kenyataan Kementerian Kewangan hari ini juga menyebut, sebanyak RM6.15 bilion daripada bayaran perundingan itu dibuat bawah Maksud Pembangunan bagi tempoh itu.
Perbelanjaan itu, antara lainnya, bagi perkhidmatan perakaunan, perkhidmatan perundangan, penilaian dan pengurusan harta, pengurusan, perkhidmatan pakar runding perniagaan, perkhidmatan komputer dan prosesan data, perkhidmatan jurutera, juruukur dan kajibumi. serta perkhidmatan penyelidikan pasaran dan ujian pasaran.
Perkhidmatan itu bagi melaksanakan projek kerajaan seperti pembinaan rumah, jalan, jambatan, kolej, membaik pulih jalan, pembinaan sekolah dan hospital.
Sementara itu, RM1.05 bilion selebihnya merupakan belanja perkhidmatan bawah Maksud Mengurus, menurut kenyataan itu lagi.
Ia antaranya bagi perkhidmatan saintifik dan penyelidikan, perkhidmatan kajian ekonomi serta perkhidmatan profesional lain seperti bayaran yuran audit, yuran guaman dan latihan perniagaan kepada usahawan.

