Majlis Peguam: Patuhi peraturan tempoh kempen
Majlis Peguam menggesa semua parti terlibat dalam pilihan raya kecil Kajang agar mematuhi peraturan berkaitan tempoh berkempen.
Presidennya Christopher Leong berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh didakwa kerana berkempen sebelum tempoh berkempen.
"Undang-undang dan peraturan pilihan raya adalah jelas, ada tempoh masa tertentu untuk kempen pilihan raya. Semua parti perlu mematuhi undang-undang tersebut.
"SPR patut menguatkuasakan undang-undang berkenaan," kata Leong pada sidang media pagi ini.
Terkini, tiga kertas siasatan dilaporkan telah dibuka bagi menyiasat tindakan Anwar yang didakwa tidak memohon permit di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk mengadakan kempen.
Pengerusi NGO pro-reformasi pilihan raya BERSIH Maria Chin Abdullah menggesa media agar turut meneliti kempen sama yang turut dimulakan oleh BN secara tidak langsung.
Dakwanya, menjelang pilihan raya kecil Kajang ini, BN telah menggunakan menteri serta mereka dengan kedudukan yang tinggi untuk mengeluarkan kenyataan yang adakalanya bersifat perkauman.
"Tidakkah itu juga anda panggilnya sebagai kempen?
"Saya rasa media juga perlu kritikal terhadap perkara ini," katanya.
Sementara itu, Leong menggesa SPR agar mengumumkan kepada orang ramai apabila mereka mahu menjalankan semakan semula persempadana pilihan raya.
Dengan demikian, orang ramai akan mempunyai masa mencukupi untuk memahami persempadanan semula kawasan pilihan raya di tempat tinggal mereka serta di kawasan mereka mengundi.
Menurutnya, undang-undang sedia ada yang hanya mewajibkan SPR mengumumkan draf persempadanan semula itu kepada orang ramai dan tempoh 30 hari untuk mendaftarkan bantahan 100 pengundi bagi sesuatu kawasan menjadikan hak membantah itu sebagai "hak di atas kertas semata-mata".
"Idealnya SPR perlu memaklumkan orang ramai yang mereka akan menjalankan semakan konstituensi atau persempadanan semula supaya masyarakat sivil maklum dan mempunyai masa secukupnya untuk memahami persempadanan semula (di kawasan mereka)," katanya.

