Krisis air: Jimat cermat, solat hajat, saran PM
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencadangkan agar orang ramai melakukan solat hajat dan berjimat-cermat menggunakan air di waktu beberapa tempat di negara mengalami krisis bekalan air dan cuaca panas.
Menurutnya, kerajaan pada masa sama menerusi kementerian tenaga, teknologi hijau dan air juga akan memantau situasi itu dan melakukan pembenihan awan untuk menggalakkan hujan.
"Kita akan buat pembenihan awan, tetapi pembenihan kena ada awan hujan baru boleh buat pembenihan awan.
"Kita sedia untuk lakukan perkara itu.
"Kedua, (daripada segi) kerohanian, kita buat solat hajat seperti mana hari ini semua masjid buat solat hajat.
"Kita juga sarankan penjimatan air secara sukarela dilakukan," kata Najib pada sidang media selepas mesyuarat majlis tertinggi Umno di PWTC, petang ini.
Dua hari lepas, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad mengisytiharkan negeri itu mengalami krisis air apabila sebilangan besar isi rumah berdepan dengan masalah ketiadaan air.
Fenomena itu berlaku kerana musim kemarau luar biasa berlarutan sehingga beberapa kawasan tadahan air di negeri itu semakin kering.
Pada masa sama, penduduk di ibu kota juga merasakan suhu di luar rumah mutakhir ini agak panas dan kering dan pagi ini, beberapa kawasan didakwa dilanda jerebu kecil.

