'Bebas guna media sosial tanda demokrasi teguh'
Walaupun media sosial mempunyai risiko digunakan bagi menyebarkan khabar angin, hakikat bahawa orang ramai boleh menggunakannya selagi mematuhi undang-undang adalah petunjuk jelas keteguhan demokrasi di Malaysia, kata timbalan perdana menteri.
"Hakikat bahawa orang ramai boleh menggunakan media sosial secara bebas, dalam kerangka undang-undang kita, adalah petanda bahawa wujudnya demokrasi yang teguh di Malaysia," kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Persidangan Kelapan Ketua-ketua Misi di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri, di ibu negara petang ini.
Kenyataan itu dibuatnya ketika mengulas peranan media sosial dalam membentuk pendapat umum terutamanya golongan belia, dalam pilihan raya umum yang lalu.
"Ada yang berhujah langkah ini dialu-alukan ke arah satu bentuk demokrasi yang lebih terbuka, yang menjamin kebebasan bersuara.
"Bagaimanapun, pengalaman mengajar kita bahawa media sosial boleh menjadi medan yang disalah guna dengan mudah, apabila khabar angin dan tuduhan tak berasas merebak seperti api membakar, termasuklah di kalangan rakyat Malaysia di luar negeri," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sewaktu bercakap pada majlis yang sama menasihatkan ketua misi diplomatik Malaysia di luar negara agar berhati-hati terhadap "zaman media sosial".
Ini kerana menurut Najib, perbualan peribadi kini juga boleh bocor ke dalam blog-blog.

