Macam budak berebut rambutan, sindir PKR
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menegur Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana bertegas mahu dilihat sebagai pihak pertama yang mengusulkan perpaduan nasional.
"Kita tak mahulah berbalah siapa yang mulakannya dahulu, macam budak-budak berebut rambutan," kata Saifuddin pada sidang media pagi ini.
Jelasnya, PKR sebaliknya mengalu-alukan kesungguhan Najib untuk merealisasikan pelan tersebut dan mengulangi empat perkara yang mahu dibincangkan Pakatan Rakyat dalam kerangka tersebut.
"Kami sudah mengangkat empat perkara sebagai permulaan - harus ada perkara yang menjawab isu ketegangan kaum, bebanan hidup rakyat, urus tadbir kerajaan, serta bagaimana mahu menghadapi kelesuan ekonomi," katanya dalam sidang media hari ini.
Najib dalam masukan blognya di laman 1malaysia.com.my dengan tajuk 'A National Reconcilitiation Update berkata beliau individu pertama menyeru ke arah perkara itu sebaik sahaja pilihan raya umum ke-13 berakhir.
Jelasnya, sewaktu seruan itu dibuat, "pihak lain" hanya cakna untuk mempertikaikan keputusan pilihan raya yang baru berakhir pada masa itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang turut hadir pada sidang media ini menyeru Najib agar tidak melaksanakan pelan perpaduan nasional itu secara sebelah pihak melibatkan BN dan sekutu-sekutunya sahaja.
"Pertama ia perlu input dari semua pihak, ia tak boleh bermula dari (keadaan) vakum (kosong).
"Kalau hanya BN atau sekutunya melakukan draf, ia tidak akan mencapai tujuannya," katanya.
Tian berkata penglibatan Pakatan Rakyat dalam pelan itu bertambah penting dengan mengambil kira kemenangan BN dalam pilihan raya lalu yang hanya menikmati 47 peratus sokongan undi popular dan dilihat sebagai 'kerajaan minoriti'.

