Bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim menafikan dakwaan yang beliau pernah melobi kerajaan Selangor bagi pihak kawannya, seperti didakwa Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, semalam.

Menurut Zaid, beliau tidak ada kepentingan dalam dua syarikat yang didedahkan dalam emel oleh Rafizi semalam.

"Rafizi menggambarkan seolah-olah syarikat ini saya punya, (seperti) saya lobi untuk kepentingan saya atau keluarga saya,

"Tapi dia tak check (periksa) kalau saya atau isteri saya atau sepupu saya ada apa-apa dalam syarikat itu, kepentingan saya apa," kata Zaid dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Ditanya apa yang mendorongnya untuk menulis emel tersebut, Zaid menjelaskan ia tugas "orang politik yang menolong orang yang memohon pertolongan".

"(Bagi) saya siapa-siapa yang ada kes yang saya rasa sesuai, itulah dorongannya.

"Itulah kerja orang politik, tolong orang yang minta tolong.

"Apa yang luar biasa sangat? Jadi Rafizi tak pernah minta tolong?" katanya.

"Saya tulis emel, itu bukan melobi.

"Kalau nak burukkan saya, tak padanlah dengan emel ini saja," katanya lagi.

Jelasnya, dua syarikat yang disebut Rafizi dalam sidang media semalam bukanlah kawan atau kenalan beliau.

"Dua syarikat ini kalau saya jumpa hari ini pun, saya tak ingat rupa dia," katanya.

Beliau seterusnya mencabar Rafizi agar mendedahkan lebih banyak butiran tentang emel tersebut.

"Saya nak jelaskan di sini, Rafizi koreklah lagi sikit, jangan berhenti di situ saja," katanya.

Mengulas cemuhan Rafizi yang beliau mengamalkan budaya melobi Umno BN walaupun telah meninggalkan parti itu, Zaid berkata:

"Semasa saya jadi menteri, saya tak salah guna kuasa tetapi Anwar masuk jel kerana salahguna kuasa," katanya.