Anwar dah kena 'checkmate', kata Zaid
Tindakan kerajaan Selangor memuktamadkan penstrukturan semula air Selangor dengan kerajaan Persekutuan semalam membantutkan hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi menteri besar, kata bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim.
Zaid (
kiri
) yang mengumumkan akan bertanding di Kajang berkata, tindakan Anwar bertanding dalam pilihan raya tersebut adalah untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim dan mempengaruhi urusniaga penstrukturan air tersebut.
"Ia dah terlambat, dia dah kena 'checkmate'," kata Zaid pada sidang medianya pagi ini.
Bercakap lanjut, Zaid menjelaskan beliau bersetuju dengan langkah Khalid yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak menandatangani perjanjian itu.
"Saya rasa pendekatan Khalid itu betul dan saya setuju. Sekurang-kurangnya masa depan air Selangor akan selamat, penswastaan akan berakhir," katanya.
Malah, Zaid turut mendakwa Anwar tahu tentang perjanjian itu, tetapi tidak bersetuju dengan cara Khalid menguruskan penstrukturan semula air itu.
"Mereka sangat tahu tentangnya, cuma mereka tidak setuju," katanya.
Pengambilalihan air oleh kerajaan Selangor dengan sokongan kerajaan Persekutuan dilaporkan berlaku dengan mengguna pakai Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA).
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli juuga pernah memberi amaran agar akta sama tidak digunapakai bagi menghalang kerajaan Persekutuan berkuasa sepenuhnya untuk mengawal konsesi air dan seterusnya menaikkan harga air di Selangor sesuka hati.
Sehubungan itu, Zaid berkata Anwar perlu tewas di Kajang bagi memastikan masalah pengurusan air di Selangor tidak berlarutan.
"Sebab itu dia (Anwar) mesti kalah di Kajang. Kalau dia jadi MB, sudah tentu air akan jadi masalah di Selangor
"Perdana menteri mahu selamatkan masalah ini," kata Zaid merujuk kepada upacara menandatangani perjanjian persefahaman air semalam yang disaksikan Datuk Seri Najib Razak.

