Isu pelaksanaan hudud kembali timbul di Parlimen apabila MP Ketereh, Datuk Seri Annuar Musa menggesa Kelantan menyegerakan pelaksanaan undang-undang itu.

Menurutnya, perdana menteri tidak akan menghalangnya kerana beliau tiada kuasa berbuat demikian.

"Saya telah membaca peraturan dan perdana menteri tiada kuasa menghalang sesiapa melaksanakan hudud selagi mana ia menurut peraturan-peraturan yang ditetapkan," katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Annuar, sekarang adalah masa yang sesuai untuk melaksanakan undang-undang Islam itu.

Beliau juga percaya DAP tidak akan membantahnya ekoran sama-sama bergabung dengan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Pada masa sama katanya, kerajaan negeri Kelantan juga menikmati sokongan kukuh daripada pelbagai kaum termasuklah orang-orang Cina yang terus menyokong PAS.

"Tentangan dari pembangkang (BN) tidak akan lagi berbangkit. Saya difahamkan undang-undang yang diluluskan belum digazetkan.

"Kalau dah digazetkan, saya harap langkah pelaksanaannya disegerakan," kata Annuar lagi.