Berita Malaysiakini

PBS baru kurangkan beban guru hingga 80%

Ahmad Fadli KC  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) baru yang akan dilaksana bermula 1 April ini akan mengurangkan beban guru sehingga 80 peratus, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Antara ciri baru sistem baru itu, guru akan memasukkan data berdasarkan masa yang sesuai secara 'offline', kata Muhyiddin yang juga merupakan menteri pendidikan pada sidang media di Parlimen hari ini.

"Guru boleh merekodkan tahap penguasaan murid mengikut kesesuaian masa dan kaedah mereka sendiri," kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian sewaktu mengumumkan perubahan kedua PBS membabitkan penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang kini dipermudah menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid.

Perubahan ketiga pada PBS pula adalah guru kini tidak perlu lagi menyediakan Fail perkembangan Murid (FPM) dan Rekod Transit dan perkembangan prestasi murid boleh direkod guru berdasarkan kesesuaian masa mereka, kata Muhyiddin.

Sebelum ini, PBS telah ditangguhkan pelaksanaannya apabila guru-guru merungut ia menambah beban tugas perkeranian mereka dan sistem itu yang hanya boleh diakses secara dalam talian juga adalah kurang stabil.

PBS diperkenalkan pada 2011 dan memansuhkan peperiksaan tahunan yang selama ini dihadapi pelajar termasuk Penilaian Menengah Rendah dan Ujian Bersepadu Sekolah Rendah.