Kerajaan akan hanya mempertimbangkan penubuhan suruhanjaya diraja (RCI) atau jawatankuasa khas parlimen (PSC) untuk menyiasat kehilangan pesawat MH370 selepas kotak hitam pesawat itu ditemui.
Menteri di Jabatan Perdana menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata kerajaan buat masa ini mahu menumpukan usaha bagi mencari kotak hitam itu terlebih dahulu.
"RCI, kita akan pertimbangkan selepas kita menemui kotak hitam," kata Shahidan sewaktu ucapan penggulungan titah diraja bagi Jabatan Perdana Menteri di Parlimen hari ini.
Dalam ucapan seterusnya sewaktu sidang Parlimen disambung semula pada jam 2.30 petang, Shahidan menegaskan kerajaan akan hanya mempertimbangkan satu daripada dua pilihan tersebut.
Beliau menjawab soalan diajukan Anthony Loke (DAP-Seremban) yang berkata badan tersebut perlu ditubuhkan untuk menentukan punca sebenar kehilangan pesawat MH370.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada hari Selasa lalu mengumumkan bahawa kementeriannya telahpun menubuhkan satu lembaga siasatan untuk meneliti kes berkenaan.
Selain itu, pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia juga telah mengadakan siasatan dalaman berhubung isu tersebut, katanya.
