'Seperti penerbangan, PLKN juga selamat'
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) adalah selamat dan tidak akan dihentikan hanya kerana dua kes kematian daripada lebih 700,000 pelatih yang mengikuti program itu, kata Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid.
Menurutnya, statistik kes kematian yang dilapor sebelum ini terlalu rendah dan tidak perlu menjadi alasan seperti kehilangan pesawat MH370 juga tidak menjadi sebab untuk semua penerbangan dihentikan.
"Kadang-kadang isu keselamatan disensasikan tetapi kita amat prihatin isu keselamatan ini.
"Saya harap tuan-tuan fikir dua kematian akibat sebab tidak semula jadi daripada lebih 752,000 peserta.
"Saya ingat kemungkinaan anak-anak kita ada kecelakaan di luar yang jauh lebih tinggi dari di dalam kem.
"Saya bagi contohlah, MH370, yang itu kita sedih tetapi satu kapal terbang itu kita tak dapat kesan, satu dunia beribu-ribu kapal terbang terbang.
"Tiada apa menghentikannya kerana ia kaedah pengangkutan yang paling selamat.
"Lebih selamat dari naik motor, naik kapal terbang pun tak ada orang minta hentikan.
"Di PLKN pun macam itu, dia selamat cuma kes-kes yang di luar jangkalah," katanya.
Tak isytihar status
Menurutnya lagi, sejak PLKN diperkenalkan, kira-kira 20 orang peserta mati ketika dalam latihan berpunca daripada sebab perubatan - kecuali dua daripadanya yang berpunca daripada sebab tidak semula jadi.
Menurutnya, sebahagian daripada peserta kadang-kala tidak mengisytiharkan status kesihatan mereka sewaktu menyertai latihan.
Anggota Parlimen Kota Tinggi itu membuat perbandingan di antara tahap keselamatan kem PLKN dengan industri penerbangan dalam jawapan susulan selepas ditanya wartawan.
Beliau ditanya sama ada PLKN bercadang untuk menghantar pelatihnya bagi membantu anggota keluarga mangsa kehilangan MH370.
PLKN buat masa ini terlibat dalam bantuan menguruskan bencana alam seperti banjir dengan mengerahkan kira-kira 120,000 pelatihnya yang bersiap sedia untuk membantu, kata Noor Ehsanuddin.

