'Isu tumpahan lebih sesuai dijawab pihak berkuasa'
Lynas Malaysia mematuhi semua peraturan dan keperluan di peringkat kerajaan Malaysia dan antarabangsa dalam menjalankan operasi mereka, kata Pengurus Komunikasi Korporatnya, Amin Abdullah.
"Kami ingin maklumkan yang Lynas patuh kepada semua peruntukan dan peraturan nasional dan antarabangsa yang dikenakan kepada kami oleh kerajaan Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian dalam maklum balas kepada dakwaan MP Kuantan, Fuziah Salleh ( kanan ) yang mempersoalkan kepatuhan syarikat pengusaha loji pemproses nadir bumi itu susulan penemuan bahan kimia yang tumpah di kawasan lebuh raya Jumaat lalu.
Menurut Amin, persoalan tersebut juga sebenarnya lebih sesuai dijawab oleh pihak berkuasa Malaysia.
"Soalan-soalan itu adalah untuk dijawab oleh regulator kerajaan," katanya lagi kepada Malaysiakini .
Fuziah semalam mendakwa, bahan kimia separuh siap tersebut yang dikenali sebagai PnRD klorida atau dydimium klorida, tidak tersenarai sebagai bahan yang dibenarkan untuk dieksport oleh Jabatan Alam Sekitar.
Menurutnya, bahan kimia yang dibenarkan untuk dieksport Lynas seperti disenaraikan dalam laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) adalah bahan yang sudah siap diproses dan berunsur oksida sahaja.

