BERITA

Muhyiddin gesa universiti ambil iktibar laporan audit

Ahmad Fadli KC

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Apr 2014, 7:35 pagi

Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggesa institut-institut pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan agar mengambil iktibar daripada dapatan yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013, baru-baru ini.

"Saya ingin naib canselor dan rektor agar meneliti laporan jabatan audit negara dan juga setiap teguran yang dibuat jabatan tersebut.

"Saya juga berharap agar semua teguran ini dapat diberikan perhatian yang serius dan dijadikan panduan dan iktibar dalam menguruskan IPTA masing-masing," katanya di Putrajaya, pagi ini.

Beliau berkata demikian sebelum mempengerusikan satu mesyuarat bersama naib-naib canselor dan rektor IPTA di Kementerian Pendidikan, pagi ini.

Muhyiddin tidak menyatakan dengan terperinci butiran laporan tersebut yang perlu diberikan perhatian.

Bagaimanapun, laporan Ketua Audit Negara 2013 baru-baru ini membangkitkan fenomena stalaktit yang terbentuk dalam kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dibina secara runding terus.

Audit yang dibuat antara Oktober hingga November 2013 ke atas kampus RM459.58 juta itu mendapati ia siap dalam keadaan "secara keseluruhannya, kurang memuaskan".

Laporan Ketua Audit Negara 2013 itu mengesan lapan kelemahan pada kampus tersebut.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.