'DAP tak pernah kekalkan MP di Teluk Intan'
Diterbitkan: May 25, 2014 10:00 AM | Dikemas kini: May 25, 2014 10:06 AM
Calon BN dalam pilihan raya kecil Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong malam tadi mencabar DAP untuk menjelaskan sebab parti itu tidak pernah mengekalkan anggota Parlimen yang sama lebih daripada sepenggal di situ.
Menurutnya, perkara itu jelas apabila sejarah DAP di Teluk Intan diteliti dalam tempoh 30 tahun yang lalu.
"Saya hendak beritahu dalam 30 tahun ini tak ada calon DAP bertanding dua kali.
"Tiap-tiap kali tak ada pun yang bertanding dua kali. Jadi YB, tak berkhidmat, tukar," katanya pada satu ceramah anjuran Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), di Taman Melor, Teluk Intan, semalam.
Pada tahun 1997, anggota Parlimen DAP di Teluk Intan adalah M Kulasegaran yang kini merupakan MP Ipoh Barat.
Kerusi tersebut kemudian jatuh ke tangan Gerakan pada pilihan raya umum ke-10 dan ke-11 dengan Mah Siew Keong sebagai MP pada kedua-dua penggal itu.
Pada pilihan raya umum ke-12, kerusi itu jatuh ke tangan DAP yang meletakkan M Manogaran sebagai calon dan pada pilihan raya umum lalu, kerusi itu dipertahankan DAP yang kali ini diwakili oleh Seah Leong Peng.
Seah mati akibat barah pada 1 Mei lalu dan mencetuskan pilihan raya kecil Teluk Intan.
Menurut Mah, wakil rakyat DAP jarang-jarang turun ke Teluk Intan selepas menang dan ia berbeza dengan beliau, yang tetap ke Teluk Intan walaupun selepas kalah selama dua kali di situ.
"Bagi saya kalah juga adalah satu pengalaman.
"Bagi saya ia adalah satu cabaran.
"Yang menang pun lari, yang kalah, (saya) balik (ke Teluk Intan).
"Saya lahir di Teluk Intan, sekolah di Teluk Intan, ada sayang dengan Teluk Intan," katanya disambut sorakan dan tepukan daripada kira-kira 200 hadirin yang rata-rata terdiri daripada penduduk berbangsa India Muslim.
Menurut Mah, beliau tetap turun padang ke Teluk Intan walaupun bukan wakil rakyat di situ selepas kalah dua penggal lalu.
Justeru, ia cukup kuat untuk membuktikan komitmennya kepada Teluk Intan dan beliau merayu agar diberikan peluang untuk berkhidmat secara rasmi sekali lagi.
"Saya Mah Siew Keong bukan begitu pentinglah, saya wakil kawan-kawan saya dalam BN.
"Jika saya menang, bukan saya yang hebat tetapi parti-parti BN dan Kimma yang hebat.
"Saya harap 31 Mei semua akan menyokong saya.
"Dulu saya berkhidmat kepada Teluk Intan, sekarang saya berkhidmat kepada Teluk Intan dan saya selama-lamanya akan berkhidmat kepada Teluk Intan," katanya.

