Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Reezal Merican berkata polis juga perlu menyiasat ADUN Seri Delima RSN Rayer atas kenyataan yang mencetus kemarahan penyokong Umno.

"Sebanyak mana Pemuda Umno disiasat, sebanyak itulah juga Rayer perlu disiasat kerana menimbulkan ketegangan dan menghasut," katanya kepada pemberita, di Teluk Intan pagi ini.

 

Beliau ditanya mengenai siasatan polis selama tujuh jam semalam ke atas anggota Pemuda Umno yang didakwa mengugut untuk membakar pejabat DAP minggu lalu.

Rayer sebelum ini dilapor mengungkapkan "Celaka Umno" terhadap beberapa pemimpin Umno sewaktu sidang DUN Pulau Pinang.

Reezal mendakwa, Rayer juga mengulangi kenyataan itu di luar dewan pada satu majlis ceramah.

Susulan itu beberapa laporan polis telah dibuat ke atas Rayer dan ia mewajarkan beliau disiasat kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, kata Reezal.

"Sebenarnya dia ada keluar kenyataan sama ketika ceramah di Bukit Gelugor dan sudah ada laporan polis dibuat atas kenyataan beliau.

"Maka pengulangan kalimah itu dalam ceramah boleh dianggap hasutan.

"Saya rasa banyak lagi laporan polis akan dibuat terhadapnya," katanya.

Beliau mengulas tindakan polis yang mengambil keterangan dari para pemimpin Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, yang terlibat mengugut membakar ibu pejabat DAP minggu lalu.

Enam individu tersebut termasuk Ketua Pemuda Umno Wilayah, Mohd Razlan Muhammad Rafii; Gulam Muzaffar Gulam Mustakim (ketua penerangan Pemuda Wilayah), Datuk Rizalman Mokhtar (ketua bahagian Bandar Tun Razak) dan Johari Yazid (Ketua Pemuda Cheras).

Keenam-enam ahli Umno itu dibebaskan dengan seorang penjamin pada kira-kira jam 9 malam ini.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan berunsur jenayah.

Pada Khamis lalu, sekumpulan lebih 50 anggota Pemuda Umno memberi amaran keras kepada DAP, dengan mengancam akan membakar ibu pejabat parti itu jika wakil rakyatnya terus membuat kenyataan yang dianggap menghina parti mereka.

Ugutan itu disuarakan sewaktu mereka mengadakan demonstrasi di luar ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur sebagai membantah kenyataan Rayer.

Enam ahli Umno disiasat tujuh jam kes ugut DAP