dikemaskini Dokumen palsu itu diperolehi dari seorang bekas polis di Kanada yang terlibat kes pemalsuan dokumen, kata Mahmud Abu Bekir.

Anak bekas ketua menteri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib menafikan beliau memiliki harta berbilion ringgit, seperti ditunjukkan sebelum ini dalam perbicaraan tuntutan mutaah RM100 juta oleh bekas isterinya.

Katanya, dokumen untuk menilai asetnya itu palsu kerana ia diperolehi bekas isterinya, Shahnaz A Majid, daripada seorang bekas polis di Kanada yang kini ditahan kerana jenayah pemalsuan dokumen.

Beliau berkata demikian sewaktu ketika peguamnya, Datuk Seri Zainul Rijal Abu Bakar bertanya sekiranya beliau benar-benar memiliki aset berbilion ringgit seperti yang didakwa.

"Itu adalah bohong. Sebab ini adalah ciptaan yang direka oleh penjenayah dari Kanada," katanya Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur sewaktu beliau memberi keterangan dari kandang tertuduh.

Beliau berkata, maklumat dari penyiasatnya mendapati bekas isterinya mendapat khidmat Cullen Johnson, seorang bekas polis dari Toronto, Kanada yang kini menjadi penyiasat.

"Menurut laporan Canadian Broadcast Corporation, (Johnson) dan isterinya Elaine White, mereka menawarkan khidmat mengesan aset atau pencarian aset kepada plaintif dalam kes cerai di Kanada dan Amerika Syarikat.

"Saya telah menghantar penyiasat ke Amerika Syarikat dan mendapati bahawa plaintif telah mendapatkan khidmat daripada Encik Cullen Johnson pada tahun 2012.

"Orang ini sudah diketahui sejak 2009 dia adalah seorang yang memalsukan atau pereka dokumen palsu," katanya.

Rumah RM2j, tiga kereta mewah

Mahmud bagaimanapun mengakui bahawa beliau membuat pinjaman perumahan berjumlah RM1.5 juta di atas namanya dan membelikan Shahnaz sebuah rumah berharga RM2 juta.

Kediaman berkenaan dibeli atas nama Shahnaz untuk didiami oleh isterinya itu dan anak mereka.

Pada masa sama, beliau juga membelikan Shahnaz tiga buah kenderaan – satu kereta Mercedes S Class dengan anggaran harga RM800,000 ribu, sebuah kereta BMW X5 berharga RM600,000, dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Jeep Cherokee berharga RM500,000.

Menurutnya, ketiga-tiga kenderaan itu dibelikan untuk kegunaan Shahnaz namun, beliau tidak pasti jika kenderaan itu dibeli atas namanya atau atas nama syarikat beliau.

Sementara itu, Mahmud berkata pihaknya akan membuat laporan polis terhadap sebuah yang sebelum ini mendedahkan transaksi akaun banknya di Mahkamah Syariah.

Katanya, kebenaran untuk berbuat demikian hanya boleh diberikan oleh Bank Negara Malaysia dalam kes-kes melibatkan perbuatan jenayah.

Ia juga bercanggahan dengan Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia), katanya.

Jelasnya, tindakan itu kini mendedahkan anaknya yang melanjutkan pelajaran di United Kingdom kepada risiko diculik untuk mendapatkan wang tebusan.

Perbicaraan kes itu akan bersambung pada 24 Jun 2014 jam 10 pagi serta 2, 8, dan 23 September 2014.