Hishammuddin: Memang tiada bayaran tebusan
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussin menafikan laporan bahawa 'sejumlah besar' wang tebusan dibayar untuk membebaskan warga China dan Filipina dalam satu kes penculikan bersenjata di Sabah.
Katanya, kes tebusan yang dilepaskan tanpa melibatkan bayaran wang tebusan seperti itu juga pernah berlaku sebelum ini.
"Perdana menteri sudah kata tidak (ada bayaran) dan memang tidak (ada bayaran) dan ini bukan satu perkara yang baru.
"Saya masa di KDN (Kementerian Dalam Negeri) pun ada kes-kes yang kita dapat pembebasan mereka yang diculik," katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan pagi ini.
Laporan Reuters pada akhir bulan lalu menyebut, sejumlah besar wang tebusan telah dibayar untuk membebaskan dua tebusan wanita yang diculik dari sebuah pusat peranginan di Sabah.
Laporan tersebut bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari sebelumnya, bahawa tiada wang tebusan dibayar untuk membebaskan pelancong China Gao Huayun dan pekerja hotel keturunan Filipina Marcy Dayawan.
Kedua-duanya diculik oleh lelaki bersenjata dari kumpulan Abu Sayyaf dari 'Singamata Adventures and Reef Resort' di Semporna 2 April lalu.
Sementara itu, beliau yang sebelumnya mempengerusikan mesyuarat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) berkata keupayaan pihak berkuasa tersebut masih boleh dipertingkatkan pada masa akan datang.
"Saya rasa lebih banyak boleh dilakukan tetapi hakikat bahawa tiada pemberontakan di Lahad Datu adalah bukti bahawa kita melakukan yang sebaiknya.
"Namun, kita tidak boleh berpuas hati apabila ia melibatkan soal keselamatan negara kita," katanya.
Beliau turut mengumumkan yang pihaknya dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri dan pihak ketiga seperti Petronas.
Menurutnya, kerajaan sedang mempertimbang untuk menukar pelantar-pelantar minyak yang tidak digunakan lagi di perairan Sabah kepada pangkalan hadapan untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan di situ.
"Kalau pelantar minyak ini boleh diguna untuk pangkalan hadapan kita, ia bukan sahaja menjimatkan tetapi juga meletakkan kita pada (posisi) pertahanan yang strategik," katanya.
Kenyataan yang sama dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, pada 29 Mei lalu.

